Seorang bekas menteri berkata, dia dan keluarganya pernah ditawarkan perjalanan mewah ke Eropah sebagai “kunjungan hormat”, oleh seorang pengimport daging beku yang didakwa ada kaitan dengan skandal kartel daging.
Bekas menteri pertanian dan industri asas tani Salahuddin Ayub memberitahu New Straits Times pengimport tersebut mendekatinya beberapa bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada 2018, dalam apa yang sepatutnya menjadi satu “sesi pengenalan” dengan pemain industri.
Namun, timbalan presiden Amanah merasa ada yang tidak kena ketika beliau ditawarkan pakej percutian ke Eropah sebagai “kunjungan hormat”.
“Mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga. Perjalanan berbayar ke Eropah. Tetapi saya menolaknya,” katanya kepada wartawan dalam wawancara.
Bagaimanapun, Salahuddin tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak pasti tentang “sifat” tawaran itu, manakala syarikat itu tidak meminta apa-apa sebagai balasan.
Beliau berkata, syarikat yang menawarkan percutian itu menjalankan perniagaan dengan beberapa rumah penyembelihan di India yang mengeksport daging ke Malaysia.
Katanya, beliau cuba untuk menangani isu melibatkan import daging semasa menjadi menteri, terutama selepas mendapat tahu terdapat monopoli ke atas import daging beku.
“Kami terima laporan sebuah syarikat memonopoli bekalan dari rumah penyembelihan yang ada, jadi saya menambahkan beberapa lagi untuk mengatasi masalah ini,” katanya, menjelaskan tujuannya untuk memecahkan monopoli.
“Tetapi kita menghadapi pelbagai isu birokrasi. Agensi meminta justifikasi mengapa kami perlu mengesahkan lebih banyak rumah penyembelihan apabila apa yang kita sudah ada cukup untuk pasaran.”
Jemaah Menteri diminta untuk membantu sebelum persetujuan akhirnya diberikan, katanya.
Salahuddin juga berkata, beliau mahu membawa wakil SPRM dan NGO untuk mengiringi pegawai Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Jabatan, dan Perkhidmatan Veterinar semasa lawatan ke rumah penyembelihan sebelum kelulusan import dikeluarkan.
Ini untuk memastikan ketelusan dan segala amalan rasuah di sektor itu dapat ditangani, katanya, sambil menjamin produk tersebut selamat untuk rakyat dan halal.
“Tetapi itu tidak berlaku. Ia memerlukan lebih daripada hanya satu penggal menjadi kenyataan. Saya juga tertanya-tanya, ketika agensi kerajaan ini pergi ke sana, siapa yang jaga mereka?”
Beliau mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal kartel daging, kerana ia cara terbaik untuk menyiasat perkara itu.
Dilaporkan pegawai kanan dari sekurang-kurangnya empat agensi kerajaan dipercayai bekerjasama dengan kartel yang membawa daging yang tidak diperakui ke Malaysia dan memasarkannya sebagai produk halal.
Sumber yang tidak dinamakan dilaporkan mendakwa pegawai-pegawai kanan ini, yang diberi kepercayaan untuk memastikan standard halal dipatuhi, menerima rasuah dan layanan seksual untuk memastikan operasi kartel tidak dapat dikesan.
Negara yang disahkan pihak berkuasa Malaysia untuk mengimport daging halal adalah Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Jepun, New Zealand dan AS, dengan import dikendalikan oleh Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan.