Muhyiddin mesti arah Menteri Kesihatan tarik balik peraturan berat sebelah

 


Muhyiddin mesti arah Menteri Kesihatan tarik balik peraturan berat sebelah


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mengarahkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba untuk menarik semula kelonggaran perintah kuarantin kepada menteri yang pulang dari kunjungan luar negara, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, Muhyiddin perlu berbuat demikian demi mengotakan janjinya yang tiada dwistandard dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi melawan wabak Covid-19.

Lim membangkitkan perutusan khas Muhyiddin pada 6 Oktober 2020, yang antara lain berkata dia sendiri tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP, serta akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang mengingkarinya.

“(Maka) Adakah janji perdana menteri tidak mempunyai sebarang makna jika menteri kesihatan kini boleh wartakan layanan berbeza dalam pematuhan SOP kuarantin Covid-19 untuk para menteri?

“Ia menjadikan penegasan perdana menteri pada bulan Oktober tahun lepas untuk tidak masuk akal sama sekali.

“Apa yang dipertaruhkan sekarang bukanlah kredibiliti menteri kesihatan ‘air suam’ memandangkan dia tidak ada sebarang kredibiliti lagi, tetapi kredibiliti perdana menteri sendiri – sama ada lebih baik daripada kredibiliti menteri kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Dr Adham mengeluarkan perintah yang melonggarkan peraturan kuarantin daripada 10 kepada tiga hari kepada jemaah menteri yang pulang daripada lawatan rasmi di luar negara.

Perintah itu dinamakan “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” terbit pada Warta Persekutuan semalam ditandatangani Adham dan berkuat kuasa hari ini.

Banyak pihak sudah menyurakan bantahan terhadap kelonggaran itu, dengan menyifatkan ia membawa risiko kesihatan serta bersifat berat sebelah.

Terdahulu, Adham mempertahankan pewartaan itu dengan menegaskan tempoh kuarantin tiga hari hanya jika menteri benar-benar mengikut “gelembung program perjalanan” (itinerary bubble), iaitu tidak terlibat dengan mana-mana program kecuali pertemuan rasmi.

“Setiap menteri Kabinet perlu memohon kelulusan daripada Perdana Menteri dan Kabinet sebelum ke luar negara. Untuk tujuan ini, hanya gelembung program perjalanan yang ketat yang dibenarkan.

“Saya akan buat penilaian dan jika mereka mematuhi jadual lawatan kerja, mereka perlu jalani (kuarantin) 10 hari. Ini jelas,” katanya seperti dipetik laman CodeBlue.

Dalam pada itu, Lim turut membangkitkan ucapan Muhyiddin yang menyebut dia akan “mula menggunakan rotan” terhadap mereka yang melanggar undang-undang berkaitan Covid-19.

Katanya, kini adakah Muhyiddin akan menggunakan “rotan” terhadap menteri kesihatannya sendiri.

Katanya lagi, pelonggaran itu akan mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam usaha membendung wabak Covid-19, di saat unsur itu perlu menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini.

“(Tetapi) kerajaan membuat perkara berlainan – melakukan segalanya yang boleh merendahkan lagi kepercayaan, keyakinan, dan sokongan rakyat seperti yang dilakukan dengan peraturan kuarantin baru untuk menteri.

“Muhyiddin juga perlu ingat jaminan Perlembagaan yang menjamin kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. 



No comments: