ULASAN KRITIKAL ANWAR TENTANG BUKU TOMMY THOMAS

 

Memoir Tommy Thomas yang baru diluncurkan baru-baru ini yang diberi judul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dari khalayak. Mungkin kerana suasana kita hari ini yang disibukkan dengan ancaman virus dan fasa pengurungan di rumah menjadikan kita ternanti-nanti berita-berita sensasi.

Memetik dan mengubahsuai sedikit dari kata-kata Winston Churchill, mantan Perdana Menteri Britain yang cukup terkenal itu bahawa belum pernah terjadi dalam lapangan penulisan memoir (atau biografi) yang telah banyak tertulis oleh ramai orang tentang sekumpulan mereka yang sedikit.

Pertamanya, gambaran oleh Tommy tentang hubungan kekeluargaan serta peri penting aspek kasih sayang dan kejituan dalam berpegangan itu mengingatkan saya kepada sosok bernama Alexis de Tocqueville yang mengungkapkan tentang ‘hati nurani’, dan bahawa kecenderungan itu yang membentuk sikap dan hidup kita, pilihan serta segala tindakan kita dipengaruhi tanpa sedar oleh sikap nurani.

Dalam memoirnya itu, Tommy meneguhkan tentang semangat berpelembagaan sebagai batu asas demokrasi, kebebasan dan keadilan, dan mengapa mengangkat reformasi dan prinsip ketelusan adalah suatu nilai yang cukup murni.

Saya berpandangan ia sesuatu yang tidak terbantahkan oleh mereka yang menjiwai prinsip dan sikap yang sama. Sikap Tommy, seperti yang tercerna di dalam buku itu menampakkan minatnya dalam membela mereka yang tertindas, dan sedang memperjuangkan sesuatu yang murni.

Di era digital seperti hari ini, buku ini tentunya berbaloi untuk dicetak dan ditelaah, setidaknya untuk masyarakat umum dan mereka yang tidak terburu-buru merasakan dikritik olehnya, dilemparkan tuduhan atau lebih parah, dituduh secara terang-terangan. Meskipun demikian, tidak seperti mereka yang mengagung-agungkan buku ini, saya percaya banyak yang boleh dikritik juga tentang buku itu.

Dalam banyak hal, Tommy seolah lebih gemar menyerang dulu dan kemudian baru mengajukan soalan. Ramai yang terkena serangannya itu, dan tidak ada sesiapa yang terselamat termasuk saya sendiri.

Sejujurnya, saya merasakan pernyataan Tommy itu bukan suatu penghinaan kepada saya tetapi adalah kenyataan yang jujur dan spontan, serta dengan niat yang baik. Budaya atau sikap kritikal adalah tiang seri dalam mana-mana negara demokrasi. Saya telah dan pernah melalui saat yang lebih parah dari ini, dan itu belum lagi tentang tuduhan jelek dan sindiran yang dilemparkan ke arah saya.

Apa yang ingin saya katakan adalah ‘sisi gelap’ memoir Tommy ini tidak bersebab peribadi. Ia adalah tentang beberapa hal yang terungkap dan tidak dijelaskan yang mencurangi mutu buku tersebut. Bagi saya, terdapat banyak kelemahan dalam buku ini, tetapi ia tidak harus dipandang ringan.

Saya telah mengenali Tommy sekitar 1980an. Dia begitu mendukung saya tatkala dipecat pada tahun 1998 dan seterusnya bermulanya pendakwaan jelek ke atas saya. Ini menjadi sebab musabab mengapa kami berdua beranggapan bahawa sistem kehakiman di negara ini telah lama dicurangi.

Hubungan kami mulai rapat hanya setelah saya dibebaskan dari Sungai Buloh pada tahun 2004. Sejak itu, dan sehingga beliau dilonjakkan ke jawatan Peguam Negara, beliau telah banyak mewakili saya secara pro bono dalam beberapa kes sivil.

Sejurus Pakatan Harapan memenangi PRU14 dan selepas saya dibebaskan pada tahun 2018, saya ke Kota Bharu sebagai upaya bagi mengelak berlakunya krisis setelah Tun Mahathir melantik Tommy sebagai Peguam Negara.

Ada juga peristiwa lain yang meletakkan kami berdua dalam kem yang sama yang boleh dibaca lanjut dalam bukunya pada tahun 2016 yakni ‘Anything but the Law’. Mungkin penerbitnya mahukan kemaskini yang lebih provokatif ketimbang yang sebelum. Tanpa keraguan lagi bahawa beliau berjaya untuk tahap ini, tetapi malangnya beliau telah mengorbankan banyak hujah rasional beserta bukti.

Saya mulakan dengan penegasan yang dibuat Tommy berhubung peristiwa 13 Mei di mana beliau menyatakan bahawa terdapat “bukti yang menunjukkan kudeta (rampasan kuasa) digerakkan oleh Tun Razak”. Hanya dengan sebatang pen, Tommy meluncurkan serangan.

Mantan Perdana Menteri Kedua negara Almarhum Tun Abdul Razak tidak hanya diiktiraf sebagai penggagas dalam pembangunan negara, tetapi juga adalah sosok besar yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat dan bangsa. Tun Razak juga manusia, seperti kita, dan tentunya ada kelemahannya yang tersendiri. Penting juga bagi kita sebagai masyarakat yang berfikrah kritikal untuk berhenti mengagung-agungkan tanggapan-tanggapan sejarah tertentu.

Saya tidak boleh salahkan Tommy untuk cuba mengubah sesuatu tanggapan sejarah di masa lalu, tetapi ia juga penting untuk kembali melihat sejarah dalam latar atau konteks yang tepat beserta analisa baru yang lebih segar.

Tommy menambah lagi bahawa “amat sukar untuk percaya bahawa Tun Razak tidak bersetuju dengan anak-anak muda dari satu kaum yang bertempik dan mengherdik kaum lain”. Petikan ini cuba untuk memberi gambaran atau konteks tentang apa yang berlaku pada tahun 1969. Sebaliknya, beliau hanya mengambil satu sudut pandang dan melihat dari lensa orang lain sambil mengekalkan emosi yang sama dalam keadaan terbalik.

Dan kita pun bingung memikirkan apa matlamat yang ingin dicapai dari tanggapan semacam ini. Dan ini terjadi di saat ini di mana kita sedang dikelilingi gejala berita palsu dan teori konspirasi. Cakaplah apa pun tentang Tun Razak, tetapi dia juga berhak untuk diadili dan dinilai berdasarkan konteks dan latar masa lalu yang tepat. Tommy tampaknya tidak meletakkan sebarang latar atau konteks untuk ini.

Kita tidak boleh nafikan fakta bahawa Tun Razak telah melonjakkan negara yang pada saat itu baru mencapai kemerdekaan, ke satu anjakan baru. Beliau bertanggungjawab dalam memungkinkan ekonomi yang berasaskan cucuk tanam yang berselirat dengan masalah kemiskinan pada waktu itu ke arah pembangunan sosioekonomi secara besar-besaran.

Saya merasakan Tommy cuba untuk menggunapakai lensa Tun Razak dan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai upaya untuk menganalisa dalam konteks penggunaan Darurat hari ini. Meski kajian terkait ini boleh mencerahkan, namun penting juga untuk diingatkan bahawa kesimpulan yang akan dibuat kelak tidak bersifat spekulatif dan separuh masak. Ini bukan caranya kita menegakkan undang-undang, dan saya harap para pengamal undang-undang akan membantah metode semacam ini.

Beliau adalah seorang yang gigih dan taat pada tanggungjawabnya, dan meninggalkan dunia saat menjawat jawatan penting negara. Tommy menyatakan bahawa terdapat bukti untuk tanggapannya itu, tetapi yang disajikan kepada kita sebaliknya adalah sangkaan dan teori konspirasi.

Ada juga gerombolan yang menyatakan pernyataan seperti itu pernah dibedah secara terperinci dalam buku yang ditulis Kua Kia Soong pada tahun 2007 yang bertajuk ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969’. Tetapi tidak ada satu bahagian pun di dalam buku tersebut yang boleh digunakan sebagai bukti dalam meneguh sangkaan seperti itu. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Yunus ayat 10, ”Sangkaan tidak akan mampu menewaskan kebenaran”.

Menjawab mantra propagandis Nazi terkenal Josef Goebbels, mengulangi sangkaan seperti ini tidak akan menjadikannya sesuatu yang benar. Tambahan pula menggunapakai prinsip cui bono dalam perkara sebesar ini adalah lemah dan ia tidak akan mampu tertegak di mahkamah, apatah lagi di ruang umum.

Ia adalah suatu bentuk celaan kepada ingatan ramai rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu yang menyanjung tinggi sosok besar Tun Razak. Adalah amat tidak bertanggungjawab tanggapan seperti itu datang dari seseorang yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam sistem undang-undang negara.

Tuduhan Tommy bahawa mantan Peguam Cara III Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dianggap tidak cekap untuk memimpin dan mengawasi pendakwaan kes salahlaku 1MDB pada tahun 2018. Hanafiah telah pun membuat laporan polis dan saya tidak mahu menyentuh lebih.

Memadai untuk mengatakan bahawa Tommy sepertinya telah hilang arah yang tidak hanya mengesankan Hanafiah tetapi juga seluruh Jabatan Peguam Negara kerana ternyata pernyataan seperti itu sangat memberi kesan kepada mereka. Pengganti Tommy Tan Sri Idris Harun juga mengecam buku tersebut sebagai “penghinaan pada profesion guaman dan telah melemahkan semangat para pengamal undang-undang”.

Saya tidak mahu mengulangi keluhan serta kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak yang mempertahankan Jabatan Peguam Negara tetapi saya akan menambah sedikit.

Tommy semacam telah melemparkan tuduhan yang sangat serius pada Jabatan Peguam Negara dengan pernyataan semacam itu dengan menggambarkan, “peguam-peguam di sektor awam mempunyai sikap yang tipikal, mendapat gaji yang tetap setiap bulan dan hanya mengharapkan pencen setelah bersara”. Tommy tidak hanya menghina Jabatan Peguam Negara tetapi telah merobek imej serta reputasi keseluruhan penjawat awam di negara ini.

Tanggapan bahawa para penjawat awam bekerja di sektor awam hanya untuk mendapat gaji tetap dengan harapan akan menerima pencen sesudah bersara adalah tanggapan yang menjijikkan dan langsung tidak berasaskan kritikan yang rasional. Di sinilah tumit Achilles buku tersebut.

Di sini juga berlakunya pertembungan antara pengalaman Tommy dan saya dengan sistem ini yang kami percaya amat memerlukan reformasi yang menyeluruh. Ia adalah sikap prasangka terhadap kaum Melayu kesan dari sikap perkauman yang bertahun-tahun lamanya.

Ini mengingatkan saya pada buku “Mitos Pribumi Malas” oleh Syed Hussein Alatas yang meruntuhkan konstruk masyarakat Melayu oleh penjajah (termasuk masyarakat Filipina dan Jawa) pada abad 16 hingga 20. Mitos-mitos ini akhirnya menyatu menjadi “pandangan sepihak penjajah terhadap penduduk asal di rantau Asia serta masyarakatnya”. Adalah penting untuk kita elakkan dari membuat sebarang kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai penjelmaan semula fikrah superior penjajah.

Benar, saya juga mempunyai sejarah hitam dengan Jabatan Peguam Negara. Meski pengalaman buruk yang pernah saya lalui di masa lalu, saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan stereotaip melibatkan kecekapan serta profesionalisme mereka. Sikap individu tidak boleh digunakan untuk menghukum keseluruhan mereka yang saya percaya sememangnya efisien dan profesional.

Dalam banyak ketika terdapat ramai penjawat awam di pelbagai kementerian, jabatan-jabatan kerajaan serta pelbagai institusi awam yang pernah saya ketemu yang tidak hanya punyai kecekapan sebagai penjawat awam tetapi juga punyai komitmen serta dedikasi dalam mengangkat suara rakyat melebihi mereka yang di sektor swasta.

Kita juga sedari tentang banyak penjawat awam dan pegawai atasan di Jabatan Peguam Negara yang punyai profesionalisme, dedikasi, disiplin, serta kecekapan dan integriti. Saya bingung memikirkan bagaimana Tommy, yang ramai tahu seorang yang merendah diri, mencintai undang-undang, keadilan dan kesaksamaan mempunyai pandangan semacam itu terhadap para penjawat awam di negara ini.

Tommy juga menulis satu bab tentang perkauman dan menggambarkan bahawa gejala perkauman hanya menjangkiti pemimpin-pemimpin Melayu. Tidak ada satu ayat pun melibatkan perkauman dari kaum lain, dan ini adalah kelemahan besar buku ini. Sememangnya tidak ada sesiapa pun harus menjulang perkauman. Sebaliknya, kita harus mengecam dan melawan perkauman.

Tanggapan Tommy itu tidak menyumbang pada wacana terkait perkauman di Malaysia, yang sememangnya telah menjadi budaya bertahun-tahun lamanya kesan dari kebijakan pemerintan. Kita sebaliknya mesti menganalisa secara kritikal isu tersebut, dan menonjolkan sikap yang benar-benar mahu memadamkan luka lama dan bina semula sebuah Malaysia yang bersatu padu dan saksama.

Saya juga kusut memikirkan bagaimana Tommy boleh memberikan komen terkait kes bunuh Samirah yang masih berjalan. Kes tersebut semestinya tidak punya relevan sama sekali dengan naratif yang cuba ditonjolkan dalam memoir itu, dan saya pasti pelajar undang-undang tahun pertama tahu bahawa pernyataan itu adalah bersifat subjudis dan akan memberi kesan pada proses di mahkamah.

Sekali lagi, mengapa Tommy yang punyai pengalaman yang cukup luas dalam undang-undang boleh membuat kenyataan sebegitu rupa yang nanti akan kembali menghantuinya di kemudian hari?

Saya percaya saya harus berhenti sekarang dari terus menulis. Dan memetik Robert Frost, “aku masih punyai jarak yang mesti ditempuhi sebelum tidur”. Tommy kini telah disaman oleh pelbagai pihak serta berpuluh laporan polis dibuat terhadapnya. Namun begitu, laporan bahawa Kementerian Dalam Negeri mengancam untuk mengharamkan buku tersebut ternyata membimbangkan.

Pada tahun 1644, John Milton menulis ‘Areopagitica’ ke Parlimen UK yang berhujah untuk menentang gejala pengharaman atas prinsip bahawa setiap mereka yang rasional mesti bertanggungjawab terhadap pegangan serta tindakannya, dan bangunkan masyarakat yang menghidupkan budaya perbahasan secara terbuka.

Meski saya merasakan saya punyai hak untuk mengkritik memoir Tommy, saya tetap tegas menentang segala bentuk pembulian atau pengharaman terhadap buku tersebut.

Saya berfikiran bahawa Tommy mesti dibenarkan untuk mempraktik kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan serta tertakluk pada undang-undang yang memantau fitnah, serta yang berbaur hasutan. Dalam semangat yang sama juga saya menyatakan ketidaksetujuan dengan pandangan serta kenyataan Tommy.

Mendiamkan mana-mana suara adalah langkah kebelakang. Harus saya nyatakan di sini bahawa suara Tommy juga sama penting dalam usaha kita menghidup dan meraikan kemajmukan di negara ini di mana suara dari kaum lain juga mesti diangkat dan diraikan. Malangnya, ‘Justice in the Wilderness’ adalah buku yang sarat dengan stereotaip, dan kita harus menelaahnya dengan prinsip skeptisisme yang tinggi.

Kita juga tidak boleh mengesampingkan fakta bahawa buku ‘The Justice in the Wilderness’ adalah kisahnya, dan meski kita akan terus berdebat dan membantah kandungan buku tersebut, tetapi ia adalah haknya untuk menceritakan seperti mana yang dia mahukan.

Dan selalunya mereka yang terburu-buru untuk mendiamkan mana-mana suara sebaliknya hanya menambahkan minat masyarakat umum untuk mendengarnya. Oleh itu, sebaliknya marilah bersama kita hidupkan budaya kritikal dan wacana terbuka. Bagaimanapun, asas untuk beberapa wacana yang tertangguh yang sangat diperlukan di negara ini sedang menunggu kita untuk menerokanya secara kritikal.

ANWAR IBRAHIM

Ketua Pembangkang/Presiden PKR

7 Februari 2021.


No comments: