Jika Muhyiddin tak tunai janji, tarik sokongan walau macam ‘kamikaze’, gesa Puad

 

Puad Zarkashi berkata demi kebaikan rakyat, sokongan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu ditarik meskipun ia dilihat seperti ‘kamikaze’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin UMNO menggesa parti itu menarik sokongan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika beliau tidak menunaikan janji sepenuhnya dalam Belanjawan 2021.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata BN sebelum ini menyatakan parti itu hanya akan menyokong belanjawan berdasarkan dua syarat – lanjutan moratorium pinjaman bank sehingga 30 Jun tahun depan dan membenarkan orang mengeluarkan Akaun 1 KWSP mereka sehingga RM10,000.

“Janji mempermudahkan i-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah terdapat bank-bank tertentu yang enggan memberikan kemudahan lanjutan pinjaman.

Terdahulu, KWSP mengumumkan hanya orang melepasi kelayakan tertentu akan dibenarkan membuat pengeluaran di bawah i-Sinar, termasuk pekerja yang tidak mencarum KWSP sekurang-kurangnya dua bulan dan gaji pokok mereka dipotong sebanyak 30% mulai Mac lalu.

Kategori kedua ahli yang jumlah pendapatannya dipotong sekurang-kurangnya 30% sejak Mac perlu menunjukkan dokumen sokongan untuk mengesahkan kriteria itu.

Puad berkata, Najib Razak yang merupakan ketua Kelab Penyokong Kerajaan BN menggesa Putrajaya untuk tidak menetapkan syarat pada skim itu, dengan mengatakan beberapa kriteria itu tidak logik dan membelenggu rakyat.

Najib berkata BN akan mengambil tindakan sekiranya tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah.

“Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam ‘kamikaze’. Tetapi apa salahnya, demi rakyat,” tambah Puad.



No comments: