Anwar ada formula untuk dapatkan sokongan jadi PM

 





Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui tidak mustahil untuk parti yang diwakilinya memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-9.

 

Walaupun KEADILAN dan UMNO tidak sehaluan dalam politik, Tajuddin menganggap Anwar mampu membentuk kerjasama yang lebih kukuh berbanding Perikatan Nasional (PN).

 

Beliau berpandangan PN tidak memberikan peluang kepada UMNO untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan, menyebabkan parti itu merasa disisihkan meskipun memiliki jumlah kerusi terbesar di Parlimen.

 

"Kalau UMNO merasakan (peluang) dia dikurangkan, kerajaan PN kena melihat perkara ini supaya dapat diatasi. Kalau tidak nanti masalah perhubungan ini akan menjadi lebih rumit dan orang lain akan mengambil kesempatan untuk membawa satu cadangan lain.

 

"Umpamanya sekarang mungkin Anwar ada formula yang boleh membahagiakan pihak yang sanggup bekerjasama dengannya seperti UMNO, Gabungan Parti Sarawak atau Warisan.

 

"Kalau parti-parti ini merasakan Anwar boleh memberi apa yang dia mahu, mungkin mereka akan tertarik untuk memberikan sokongan kepada Anwar, jangan terkejut kalau itu berlaku," katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

 

Pada masa sama, Tajuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak berpandangan kerajaan PN perlu bersikap adil atau perkara sebaliknya yang akan berlaku.

 

"Kerajaan PN perlu mengutamakan faktor kesaksamaan selain kekuatan sama rata kepada semua parti gabungan itu sendiri dalam pentadbiran negara.

 

"Ini bagi mengelakkan usaha mana-mana pihak untuk melemahkan parti lain dan membina kekuatan sendiri dalam gabungan PN," katanya.

 

Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tamparan baru apabila UMNO sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

 

Parti berasaskan kaum Melayu itu memberi syarat baharu kepada kerajaan PN sekiranya mereka mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

 

Parti itu juga menyebut bahawa kestabilan politik adalah penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan dan sebarang keputusan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara.

 

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Anwar bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan mendakwa mempunyai sokongan lebih daripada 120 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

 

Anwar bagaimanapun meminta rakyat supaya bersabar dan memberi ruang kepada Agong untuk memanggil ketua-ketua parti lain bagi mengesahkan perkara tersebut sebelum membuat keputusan.

 

No comments: