Mula sesi persekolahan hanya selepas krisis Covid-19 tamat, persatuan beritahu KPM




Setiausaha Page Tunku Munawirah Putra berkata, pelajar perlu memahami dan mematuhi SOP seperti penjarakan sosial 1 meter antara pelajar serta guru semasa di dalam kelas dan kantin sekolah.
PETALING JAYA: Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) mengingatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya hanya memulakan semula sesi persekolahan apabila keadaan membabitkan penularan wabak Covid-19 benar-benar selamat.
Setiausaha Page Tunku Munawirah Putra berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang pekeliling daripada KPM tentang bagaimanakah sesi persekolahan di seluruh negara akan dijalankan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat.
“Kebersihan tahap tertinggi perlu dipelihara di sekolah. Operasi sanitasi awam perlu dilakukan seminggu sekali pada alat-alat yang sering disentuh pelajar semasa sesi persekolahan bermula.
“Bahkan, pelajar yang demam, kurang sihat serta mempunyai simptom wabak ini perlu mengambil cuti sakit.
“Pastikan juga pelajar benar-benar memahami dan mematuhi SOP yang dikuatkuasakan seperti penjarakan sosial dalam radius 1 meter antara pelajar serta guru semasa di dalam kelas dan kantin sekolah,” katanya kepada FMT.
Tunku Munawirah Putra
Tunku Munawirah turut mencadangkan agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah diubah secara berperingkat mengikut jadual, seperti mengadakan kelas secara berselang-seli bagi tahap-tahap tertentu supaya amalan penjarakan sosial di sekolah lebih mudah untuk dikawal.
“Pastikan tidak ada perhimpunan dan salat secara berjemaah di lakukan di sekolah, sementara ibu bapa juga perlu dibenarkan mengambil inisiatif menolong pihak sekolah membersihkan kelas.
“Ini memang pernah dijalankan semasa wabak H1N1 melanda negara dahulu,” katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang ketika dihubungi FMT berkata, pihaknya masih belum bertemu dengan KPM bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tatacara sesi persekolahan pasca PKP.
Cuti sekolah pertengahan penggal pertama tahun ini bermula pada 22 Mac dan berakhir pada 30 Mac. Semua sekolah dan institusi pendidikan kini ditutup berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac dan dijadualkan berakhir pada 14 April ini.
Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 2 korban terbaru wabak Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa akibat wabak ini seramai 67 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan 109 kes jangkitan baru, berbanding 156 hari sebelumnya.
Dalam pada itu, seramai 121 pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan keseluruhan pesakit pulih 1,608 orang sehingga kini.
Noor Hisham dijangka bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyampaikan pandangan dan taklimat terkini jangkitan Covid-19.
Perkembangan tersebut akan menjadi penentu kepada tempoh PKP sama ada akan dilanjutkan atau tamat pada 14 April ini.


No comments: