‘Henti politikkan agihan bantuan Covid-19, utamakan kebajikan rakyat’



Oleh Teo Nie Ching
(Ahli Parlimen Kulai, Setiausaha Antarabangsa DAP)
Bantuan Kebajikan Covid-19 Parlimen Kulai yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kulai bersama Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai (JKMDK) terpaksa ditangguhkan kerana terdapat campur tangan parti politik tertentu.

Program ini bertujuan memberi bekalan keperluan makanan kepada 1,000 keluarga yang memerlukan di kawasan Kulai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Program ini bermula pada 5 April 2020 dan seramai 1,027 senarai pemohon yang disediakan oleh pejabat saya telah diserahkan kepada JKMDK untuk mendapatkan bantuan berupa bakul makanan bernilai RM100 daripada Sumbangan Yayasan Kebajikan Negara.



Setakat 9 April 2020, 605 buah keluarga dari Sedenak, Kampung Bukit Batu, Kampung Sri Sempurna, Kampung Murni jaya, Felda Bukit Permai, Bandar Putra, Kampung Seri Muar, Kampung Baru Ayer Bemban, Kampung Ayer Manis, Taman Senai Utama, Kampung Melayu Saleng telah menerima bantuan tersebut. 

Walau bagaimanapun, satu arahan diterima oleh pihak agensi dan memaklumkan kepada pihak kami, bahawa pemberian bantuan berupa bakul makanan di kawasan pembangkang, akan diserahkan kepada Datuk Seri Wee Ka Siong, selaku Presiden MCA untuk penyelarasan di negeri Johor. Pihak agensi terpaksa menangguhkan buat sementara waktu sehingga arahan terbaharu diterima oleh mereka.

Saya ingin tahu adakah Datuk Seri Wee Ka Siong memberi arahan ini? Jika benar, mengapa perlu sebegini rupa sedangkan pembahagian telah dibuat sebelum ini? Dalam suasana rakyat terbeban dengan kekurangan kewangan dan makanan dalam tempoh PKP, kita perlu menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan secepat mungkin.

Sebelum ini, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kulai telah membantu 600 buah keluarga di kawasan Kulai sejak 18 Mac 2020 melalui Program Sumbangan PKP Covid-19. Program tersebut juga menghadapi halangan apabila terdapat arahan yang tidak membenarkan pihak NGO mengagih makanan secara terus kepada penerima. 

Saya mendesak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius isu campur tangan parti politik dalam perkara kebajikan masyarakat. Berhentilah mempolitikan setiap isu supaya kepentingan rakyat dapat diutamakan semasa krisis Covid-19 ini. 




No comments: