TIADA JAWATAN TPM, PENTADBIRAN KERAJAAN JADI TEMPANG



Walaupun jawatan TPM tidak termaktub dalam perlembagaan dan hanya semata-mata lantikan berasaskan konvensyen atau amalan kebiasaan, tetapi keputusan Muhyiddin Yassin tidak mewujudkan jawatan tersebut tentu saja agak mengejutkan.

Ia bukan saja memperlihatkan Muhyiddin seolah-olah ingin kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak diancam atau diganggu gugat, bahkan juga memperlihatkan ketidakpercayaannya kepada pemimpin-lain dalam Perikatan Nasional (PN) untuk memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.

Sebelum ini, hangat diperkatakan bahawa UMNO kuat menuntut jawatan tersebut memandangkan jumlah Ahli Parlimennya dalam PN adalah terbesar iaitu seramai 39 orang.

Meskipun Muhyiddin dilaporkan agak keberatan untuk memberikan jawatan TPM itu kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi berikutan perbicaraan kes mahkamahnya sedang berjalan, terdapat juga kecenderungan yang mahu Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO diberikan jawatan tersebut.

Selain itu, beberapa nama lain seperti Presiden Pas, Hadi Awang, Azmin Ali, Hishammuddin Hussein dan wakil GPS turut dirasakan sesuai dijadikan TPM untuk membantu Muhyiddin mengurus kerajaan.

Apakah tidak ada salah seorang daripada mereka itu yang layak untuk dijadikan TPM?

Tetapi, dengan Muhyiddin akhirnya tidak melantik sesiapa sebagai TPM, ia dengan sendirinya menjadikan kerajaan PN ini tempang dan tidak sempurna.

Peranan dan tugas TPM bukan saja untuk membantu Perdana Menteri, tetapi juga menjalankan tugas mengurus negara apabila Perdana Menteri melawat ke luar negara atau bercuti dalam tempoh yang agak lama.

Biasanya ketika itulah TPM akan mengambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat kabinet atau membuat keputusan-keputusan penting yang perlu disegerakan.

Ini bermakna, sekiranya Muhyiddin bercuti atau melawat ke luar negara dalam tempoh yang agak lama, dua atau tiga minggu misalnya, bererti tidak akan ada mesyuarat kabinet dapat dijalankan.

Apakah ini baik untuk negara?

Sebab itulah sejak merdeka lagi jawatan TPM itu diwujudkan dan tidak pernah ditiadakan kerana ia adalah perlu untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dan keputusan-keputusan penting tidak dilengah-lengahkan.

Walaupun Muhyiddin menggantikan ketiadaan jawatan TPM itu dengan melantik empat menteri kanan, namun ia tentu saja tidak sama dari segi fungsi dan kedudukannya.

Empat menteri kanan yang dilantik Muhyiddin ialah Azmin Ali (Bersatu), Ismail Sabri Yaakob (UMNO), Fadzilah Yusof (GPS) dan Radzi Jidin (Bersatu).

Ada yang bertanya, mengapa wakil Pas yang menyumbang 18 kerusi Parlimen dalam PN tidak diberikan jawatan menteri kanan?

Kalau Hadi Awang dirasakan tidak layak dijadikan TPM, apakah tidak boleh melantiknya sebagai menteri kanan?

Begitu pun, empat menteri kanan yang diwujudkan itu mungkin dapat berfungsi dengan baik dalam membantu Perdana Menteri, tetapi ia tidak sama dengan kedudukan seorang TPM yang lebih mudah untuk berperanan mempengeruskan mesyuarat kabinet apabila Perdana Menteri tiada dalam negara.

Dalam pada itu, ketiadaan jawatan TPM juga menjadikan kedudukan penggganti Perdana Menteri tidak jelas dalam kerajaan PN ini.

Mungkin Muhyiddin selesa dengan keadaan itu kerana beliau tidak berasa terancam kedudukannya atau terlepas daripada diganggu dengan desakan melakukan peralihan kuasa, namun harus disedari Perdana Menteri ke-8 ini bukanlah benar-benar sihat orangnya.

Beliau baru lepas menjalani pembedahan kanser dan disusuli menerima rawatan kimoterapi serta sebelum ini dilaporkan kerap tidak hadir mesyuarat kabinet atau hanya mengadakan mesyuarat pasca kabinet di rumahnya saja.

Soalnya, jika berlaku sesuatu yang tidak diiingini terhadap Muhyiddin, dengan tiada TPM yang dilantik, siapa akan jadi Perdana Menteri selepasnya? (ShahbudinHusin 09/03/2020)

No comments: