PAKATAN HARAPAN HADAPI SERANGAN TIGA PENJURU



Zamzuri Ardani

Pertama, serangan dari luar dengan peluru kebencian kaum dan agama dengan naratif 'kerajaan DAP'.  Ramai pemimpin Bersatu yang tidak mampu bertahan dengan peluru yang bertubi-tubi bila berhadapan dengan serangan ini dan mahu keluar dari PH. Malah TSMY sendiri beberapa kali cuba meyakinkan Mat Sabu dan beberapa pimpinan Melayu di dalam PH supaya menyingkir DAP dari kerajaan sejak setahun lepas lagi.  Saya fikir, di waktu inilah beberapa pemimpin Melayu PH sudah mula membina hubungan dengan Umno dan PAS.

Kedua, serangan dari dalam oleh kalangan yang mengaku dari kem DSAI dengan menyerang Tun M dan membina kebencian ke atas Tun M. Mereka ini tidak pernah mendapat restu DSAI.  Pun begitu, mereka berjaya menimbulkan ketegangan di dalam PH sehingga Majlis Presiden pada 21 Feb berjaya memadamkan ketegangan ini. Malangnya, kejayaan ini tidak mampu bertahan lama kerana masih ada unsur sabotaj dalaman parti.

Ketiga, serangan dari dalam juga dari kalangan yang mengaku dari kem Tun M menyerang DSAI kononnya DSAI mahu merampas kuasa dari Tun M.  Hakikatnya, gerakan ini juga tiada mendapat restu dari Tun M, tetapi berjaya sedikit sebanyak membina kecurigaan Tun M dan pemimpin Bersatu terhadap DSAI.  Azmin Ali menumpang gelombang serangan ini untuk agenda peribadi sendiri.  Kemuncak serangan dari penjuru ini ialah Langkah Sheraton pada 23 Februari lepas.

Ramai juga penyokong PH yang sebenarnya terperangkap dengan serangan 3 penjuru ke atas PH ini. Malah ada yang secara tidak sedar turut berada dalam posisi menyerang PH dari salah satu dari 3 penjuru tadi.  Saya tidak mahu kata mereka ini naif ... tapi bagi saya mereka terlalu mendedahkan diri mereka dengan politik prasangka.  Mereka membuat kesimpulan berasaskan andaian tanpa asas fakta yang kukuh.

Saya agak bernasib kerana terdedah dengan beberapa maklumat yang seimbang secara terus dari pimpinan politik PH dan ini banyak juga membantu saya mengambil pendirian dalam politik. 

Saya akui, pemikiran politik di dalam PH sangat rencam. Cabaran besar adalah menguruskan kerencaman ini. Ia tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa proses rundingan, persefahaman, dan sikap lapang dada.

Melihat suasana ini saya percaya politik benci, dendam, dan permusuhan peribadi tiada tempat dalam ruang politik Pakatan Harapan.  Pakatan Harapan perlu terus menjadi medan yang subur untuk kepelbagaian pemikiran politik untuk hidup dan berjuang bersama.