BERAPA LAMA MUHYIDDIN MAMPU BERTAHAN?



Setelah kira-kira seminggu Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan serangan daripada PH serta Tun Mahathir Mohamad sudah bermula terhadapnya, pertanyaan paling kerap kedengaran di mana-mana ialah – berapa lamakah beliau mampu mempertahankan kerajaan pintu belakangnya ini?

Tambah buruk lagi, sementara serangan terhadapnya kian dipertingkatkan, tetapi langsung tidak ada sesiapa daripada Perikatan Nasional atau PN yang bangun untuk membelanya?

Baik daripada Bersatu, UMNO, Pas, kem Azmin Ali atau GPS, semuanya seolah-olah melihat saja serangan bertali arus yang sedang ditujukan terhadap Muhyiddin sekarang ini, sama ada ia berkaitan politik atau serangan berbentuk peribadi.

Seolah-olah Muhyiddin sedang bersendirian menghadapi segala cabaran, walhal pada hari beliau diumumkan sebagai Perdana Menteri Sabtu lalu, begitu ramai penyokong dan pengampu berkampung di kediamannya.

Apakah semua mereka mahu menunggu untuk dilantik sebagai menteri terlebih dahulu dan selepas itu baru mahu membela Muhyiddin?

Tetapi, bagaimana dengan mereka yang berangan-angan inginkan kedudukan, namun akhirnya tidak diberikan sebarang jawatan?

Apakah mereka juga nanti akan sama-sama turut menghentam dan membalun Muhyiddin atau mungkin bergabung dengan PH dan Tun Mahathir?

Sementara kedudukan majoriti Muhyiddin di Parlimen masih tidak jelas dan mungkin berubah-ubah, pengumuman barisan kabinet yang akan diumumkan petang ini adalah detik yang ditunggu-tunggu serta dianggap paling mendebarkan.

Yang dilantik sebagai menteri, sudah tentu akan berasa gembira, tetapi yang tidak dilantik, terutamanya yang sudah lama berangan-angan, mereka yang merasakan diri paling layak atau kerana ada kedudukan dalam parti yang disandang, tercicirnya mereka mungkin saja membuatkan ada yang tidak berpuas hati lalu “menghunus senjata” sebagai tanda kecewa.

Lebih-lebih yang mudah berkecil hati ialah mereka yang sebelum ini sudah pun menjadi menteri, bahkan sejak seminggu lalu paling sibuk mengampu dan membodek Perdana Menteri, bahkan menghabiskan banyak masa siang malam dan menonjol-nonjolkan diri di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara.

Tidak kurang yang akan berkecil hati nanti adalah mereka yang mengidamkan jawatan kanan, alih-alih yang tiada pengalaman, tanpa jawatan dalam parti dan mungkin ada video sumbang pula lebih diberikan peranan yang penting dalam kerajaan.

Sekarang ini pun dilaporkan sudah ada beberapa pemimpin yang mula menjauhkan diri lantaran merasakan diri mereka mungkin dipinggirkan, walau sebelumnya penuh yakin termasuk dalam senarai yang akan diberikan jawatan.

Oleh itu, susunan kabinet petang ini adalah detik yang dianggap permulaan kepada kemungkinan berlakunya keretakan atau pecahnya kerajaan PN yang sebelumnya berjaya menjulang Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Ada yang turut meramalkan seawal petang atau malam nanti pun keretakan mungkin sudah dapat dilihat melalui mereka yang kecewa tidak dilantik atau tidak puas hati kepada pemimpin tertentu yang diberikan jawatan.

Walaupun sidang Parlimen sudah ditangguhkan kepada 18 Mei depan, tetapi seorang dua yang berkecil hati dan tidak puas hati sudah cukup untuk memungkinkan PN mula berantakan serta lebih mudah ditumbangkan melalui undi tidak percaya.

Tambahan lagi PH sudah mengumumkan untuk mempertingkatkan serangan kepada Muhyiddin yang dianggap pengkhianat melalui program ceramah dan penerangan ke seluruh negara yang telah pun bermula ketika ini.

Selain program di beberapa negeri sudah bermula dengan kehadiran rakyat yang cukup memberangsangkan sejak dua tiga hari lepas lantaran merasakan undi mereka pada PRU14 lalu telah dirompak dan dikhianati oleh Muhyiddin, Azmin dan semua yang sanggup bersekongkol dalam PN, suatu himpunan besar-besaran menunjukkan kekuatan PH akan diadakan malam ini (Isnin 9 Mac) jam 9.00 malam di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara.

Selepas program di Bukit Kiara itu, sebagaimana yang diumumkan oleh Saifuddin Nasution Ismail di Kelang Sabtu lalu, PH juga akan mengadakan ceramah penerangan berskala besar dengan satu program pada setiap minggu di seluruh negara yang melibatkan semua pimpinan utama PH serta Tun Mahathir Mohamad.

Program itu akan diadakan sehinggalah sidang Parlimen pada 18 Mei depan iaitu di mana undi tidak terhadap Muhyiddin dirancang untuk diusulkan.

Dengan serangan berpanjangan itu, di samping dirinya yang tidak boleh tertekan kesan pembedahan kanser yang baru dilaluinya, ramai yang kini bertanya, berapa lamakah Muhyiddin mampu bertahan?

Adakah kerajaannya akan tumbang pada hari undi tidak percaya pada 18 Mei itu nanti atau mungkin kejatuhan bakal berlaku lebih awal daripada itu? (ShahbudinHusin 09/03/2020)


No comments: