MUHYIDDIN HARUS BERTEMU NAJIB.BUKAN MAHATHIR



Hasrat Muhyiddin Yassin untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir Mohamad atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, sekurang-kurangnya buat waktu yang terdekat ini, sah tidak akan menjadi kenyataan.

Tun Mahathir secara terbuka menolak hasrat Muhyiddin untuk berjumpa dengannya melalui sepucuk surat yang didedahkan oleh Ahli MPT Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, beliau tidak melihat ada keperluan untuk Muhyiddin berjumpa dengannya, melainkan jika Perdana Menteri sedia membuang pemimpin UMNO yang korup dalam gabungan kerajaan yang dipimpinnya.

Menurut Tun Mahathir, pendiriannya adalah sama iaitu menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO dan pemimpinnya yang rasuah.

Dengan penolakan Tun Mahathir untuk Muhyiddin berjumpa dengannya itu, ini adalah sesuatu yang sungguh memalukan Perdana Menteri sebenarnya.

Ia bukan saja kerana hasrat ingin berjumpa itu ditolak oleh Tun Mahathir, tetapi ini dengan sendirinya menunjukkan kelemahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Untuk apa Muhyiddin mahu berjumpa dengan Tun Mahathir kerana mereka berdua kini adalah musuh dari segi politik, malah beliau telah berjaya mengenepikan Ahli Parlimen Langkawi itu?

Adakah Muhyiddin tiada kekuatan untuk mengurus negara ini?

Lagi pula, setelah menjadi Perdana Menteri, tugas dan peranan Muhyiddin adalah kepada negara dan Perikatan Nasional, gabungan yang meletakkan sebagai ketua kerajaan yang baru, bukannya untuk berjumpa dan melayan Tun Mahathir?

Lebih daripada itu, Tun Mahathir turut menuduh Muhyiddin sebagai pengkhianat dan merasakan Ahli Parlimen Pagoh itu telah mengkhianatinya.

Maka, untuk apa lagi buat seorang pengkhianat ingin berjumpa dengan seseorang yang telah merasakan dirinya dikhianati.

Adakah Muhyiddin kini rasa bersalah dan ingin meminta maaf kepada Tun Mahathir?

Oleh kerana Muhyiddin telah meninggalkan PH dan mengkhianati Tun Mahathir, beliau tidak sepatutnya menoleh ke belakang untuk berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu, setidak-tidaknya dalam waktu ini.

Kalau ingin berjumpa juga, lebih sesuai dilakukan dalam tempoh enam bulan atau setahun yang akan datang.

Jika tidak, berziarah sajalah ke rumah Tun Mahathir pada Hari Raya nanti atau berjumpa saja dalam mesyuarat Bersatu.

Kalau ingin bertukar-tukar pandangan dan meminta nasihat berkaitan tugas sebagai Perdana Menteri, sesuai dengan kesanggupan sedia bekerjasama dengan UMNO, orang yang patut ditemui Muhyiddin ialah Najib Razak, bukan Tun Mahathir.

Najib adalah kawan Muhyiddin sekarang ini, manakala Tun Mahathir adalah musuhnya.

Untuk itu, jumpalah kawan terlebih dahulu.

Kenapa Muhyiddin tak mahu berjumpa dengan Najib?

Bukankah Najib juga bekas Perdana Menteri, sama seperti Tun Mahathir?
Kalau Muhyiddin mahu berjumpa dengan Najib, bukan saja permintaannya tidak mungkin ditolak, malah beliau juga tidak perlu menulis surat untuk tujuan itu.

Pakai ‘Whatsapp’ saja pun tentu Najib tiada masalah untuk berjumpa dengannya.

Malah, kalau Muhyiddin tidak mahu menghantar ‘Whatsapp’ sendiri kepada Najib, tentu bila-bila masa saja Wan Saiful sedia mengambil alih peranan itu.

Maklumlah, bila PH bukan lagi jadi kerajaan, Wan Saiful pun tiada kerja lagi kerana jawatan sebagai Pengerusi PTPTN yang disandangnya sudah berakhir dengan sendirinya. (ShahbudinHusin 09/03/2020)




No comments: