ELOK SANGAT KALAU JAWATAN TPM DIBERIKAN KEPADA MUKRIZ...



Berikutan jawatan TPM dikosongkan oleh Muhyiddin Yassin dalam susunan kabinet yang dibentuknya dan sebelum itu beliau telah mengutus surat untuk cuba berjumpa dengan Tun Mahathir Mohamad, berlegar khabar bahawa kekosongan itu adalah disengajakan untuk akhirnya nanti diisi oleh Mukhriz Mahathir.

Dikatakan bahawa kebimbangan utama Muhyiddin ketika ini adalah kedudukan Bersatu yang berpecah dan hubungannya yang retak dengan Tun Mahathir.

Apatah lagi April nanti Bersatu akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan dan sekiranya parti itu masih dalam keadaan sekarang, Muhyiddin merasakan ia adalah keadaan yang tidak baik bagi imejnya sebagai Presiden Bersatu yang memegang jawatan Perdana Menteri.

Untuk itu, Muhyiddin dilaporkan sedaya upaya mahu memulihkan kembali hubungannya dengan Tun Mahathir.

Bagi tujuan itu, menawarkan jawatan TPM kepada Mukhriz, anak manja Tun Mahathir dirasakan pilihan terbaik untuk melembutkan hati Pengerusi Bersatu yang menjangkau usia 95 tahun itu.

Dengan itu, Muhyiddin dikatakan ada alasan untuk terus berusaha lagi bagi berjumpa dengan Tun Mahathir, walaupun hasratnya sebelum ini telah ditolak mentah-mentah oleh bekas Perdana Menteri itu.

Tun Mahathir sebelum ini menolak untuk bertemu dengan Muhyiddin, bahkan memberi syarat agar mengenepikan UMNO dalam kerajaannya terlebih dahulu jika ingin berjumpa dengannya.

Meskipun Bersatu ketika ini berpecah dua – satu kumpulan bersama Tun Mahathir dan satu lagi berpihak kepada Muhyiddin – jika tawaran jawatan TPM kepada Mukhriz itu diterima, Bersatu pasti akan kembali berpadu dan akan sepenuhnya menyokong Perikatan Nasional (PN).

Atas alasan untuk mengukuhkan kerajaannya, Muhyiddin dilaporkan tidak bimbang jika menawarkan jawatan TPM kepada Mukhriz akan menimbulkan rasa tidak senang rakan-rakan lain dalam PN.

Ini berikutan Zahid Hamidi yang paling sesuai menjadi TPM sudah terhalang daripada segi moral untuk memegang jawatan itu berikutan kes mahkamahnya masih lagi berjalan.

Pas dan geng Azmin dikatakan pasti tiada halangan dengan perkara itu kerana mereka selama ini pun memang merupakan penyokong dan pengampu kepada Tun Mahathir.

Maka, jika Tun Mahathir sedia bersama dengan PN, walaupun dengan menawarkan jawatan TPM kepada Mukhriz, kegembiraan mereka pasti sama saja.

Lagi pun, bagi Pas dan geng Azmin, apa saja pendekatan yang boleh menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri, sudah tentu mereka tidak ada masalah untuk menyokongnya.

Dengan menjadikan Mukhriz sebagai TPM, ia bukan saja akan menjadikan Bersatu benar-benar bersatu bersama Muhyiddin dan seterusnya meletakkan PN dalam keadaan yang lebih kukuh, bahkan dengan sendirinya menjadikan usul undi tidak percaya yang mahu dibawa oleh PH pada sidang Parlimen 18 Mei depan akan menemui kegagalan sebelum tiba waktunya lagi.

Malah, disebabkan Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan anaknya pula menjadi TPM, duka, kecewa dan marah Tun Mahathir kepada Perdana Menteri pun tentu akan terubat dengan segera. (ShahbudinHusin 10/03/2020