Kita masih ingat, sewaktu Anwar di dalam penjara, begitu banyak ujian yang menimpa Kak Wan. Namun berkat kekuatan dan semangat yang sering beliau mohon kepada Illahi, Kak Wan tabah menghadapi.
Apabila ditanya di mana beliau memperolehi semangat dan kekuatan itu, Kak Wan tidak berahsia dan mengatakan beliau selalu berdoa kepada Allah agar kurniakan kekuatan dan semangat kepadanya dan mohon kepada Allah agar tidak mengujinya dengan sesuatu yang beliau tidak mampu tanggung. Itulah tips yang Kak Wan beritahu. Tiada yang lain.
Sewaktu Anwar dipenjara, beliau terpaksa menguruskan perkahwinan anak sulungnya Nurul Izzah. Kegembiraan menerima menantu pertamanya dirasai tanpa Anwar. Anwar hanya dibenarkan datang sebagai wali nikah sahaja. Kak Wan kehilangan ibu mertuanya disaat Anwar di dalam penjara. Anwar hadir hanya disaat ibunya ingin disemadikan. Sewaktu Anwar di dalam penjara juga, Kak Wan kehilangan bapa mertuanya.
Meskipun kini Kak Wan telah menjadi TPM, namun itu bukan jaminan beliau terlepas dari ujian Yang Maha Esa. Insan terpilih akan terus diuji. Di saat suaminya Anwar Ibrahim terus difitnah untuk kali ketiga, Kak Wan diuji pula dengan pemergian ayahanda tercintanya kelmarin. Begitulah perjalanan kehidupan Kak Wan.
Itu pun masih ada yang cuba untuk memburuk-burukkan Kak Wan dan suaminya. Paling menyedihkan mereka datang dari ahli parti yang Kak Wan bangunkan dengan kudrat seorang wanita puluhan tahun dahulu. Kak Wan genggam erat panji Keadilan itu biarpun ketika itu beliau sebatang kara di dalam Parlimen.
Berkat ketabahannya, parti ini hidup segar dan membuahkan hasil. Hasilnya kini dinikmati dan direbut oleh semua orang termasuk yang menghina pasangan itu sekarang. Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan buat Kak Wan dan keluarga. Semoga Roh Almarhum Wan Ismail dicucuri rahmat dan keampunan oleh Allah subhanahu Wataala.
WFAUZDIN NS