Pulau Pinang terus cemerlang, catat pelaburan RM10.8 bilion


Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan kedua tertinggi di Malaysia sebanyak RM10.8 bilion pada 2017 walaupun berdepan beberapa cabaran semasa kata Ahli Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow.
“Pulau Pinang berada di kedudukan yang sangat memuaskan. Kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan daya tahan yang ditonjolkan semua pihak dalam memastikan keberlangsungan dan peningkatan pelaburan negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan titah Agong di Parlimen sebentar tadi.
Bagi mengukuhkan lagi sektor pelaburan, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mencadangkan agar Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) diberi kuasa sebagai agensi pusat kebangsaan bagi hal-ehwal pelaburan untuk mengelakkan sebarang pertindihan kuasa dengan agensi lain.
Menurutnya, walaupun sehingga kini terdapat 32 agensi Persekutuan dan Negeri bagi mempromosi pelaburan atau memberi insentif kepada pelabur, kebanyakannya mempunyai peranan dan fungsi bertindih dan perlu dikaji semula.
“Oleh itu, wujud satu cadangan agar MIDA diberi kuasa sebagai agensi pusat kebangsaan bagi hal-ehwal pelaburan,” katanya.
“Saya menyarankan agar MIDA dan agensi-agensi promosi pelaburan negeri perlu terus meningkatkan kerjasama untuk meningkatkan promosi pelaburan bagi Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Pewujudan MIDA sebagai agensi promosi pelaburan ‘one-stop’ katanya memainkan peranannya di peringkat pusat manakala agensi promosi pelaburan negeri memainkan peranan di peringkat negeri.
“Semua agensi lain perlu mempunyai peranan dan fungsi yang khusus dan batasan kuasa yang jelas bagi memastikan kecekapan perkhidmatan bagi mempromosikan pelaburan nasional.
“Polisi-polisi terutama yang melibatkan insentif haruslah dinilai semula dan ‘repackage’ berdasarkan ‘benchmark’ antarabangsa. Kecekapan dalam mempertimbang dan membuat keputusan berkaitan cadangan projek dan mesyuarat bersama para pelabur juga harus diberi perhatian,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama beliau membangkitkan tentang permohonan status MSC Malaysia yangtelah dibekukan buat sementara waktu  bermula 1 Jun 2018.
Perkara ini jelasnya telah menjejaskan beberapa pelabur baru yang dalam proses membuat permohonan bagi mendapatkan status MSC.
“Bagi memudahcara kemasukan pelabur baru, Kerajaan Persekutuan disaran untuk mengambil langkah mempercepat kelulusan permohonan status MSC ini,” kata Kon Yeow.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan menggiatkan usaha untuk meningkatkan jumlah bakat tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional. 

No comments: