Hadi Awang Lebih Merugikan Pas?

shahbudin Hussein


Menjelang pemilihan Pas pada bulan Mei depan, persoalan yang paling menjadi perhatian sekarang ialah apakah Haji Hadi Awang sebagai Presiden akan dicabar dan adakah Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden akan digantikan?

Keributan mengenai isu hudud antara Pas dengan rakan gabungannya, DAP sehingga parti itu hilang kepercayaan terhadap Haji Hadi telah merancakkan lagi desakan agar beliau berundur sebagai Presiden Pas.

Ini kerana jika Haji Hadi terus kekal menerajui Pas, ia bukan saja memungkinkan PR berpecah, tetapi juga menyebabkan calon-calon Pas tidak lagi mendapat keyakinan daripada pengundi bukan Melayu dalam pilihanraya akan datang.

Tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, Pas tentu saja berisiko kehilangan banyak kerusi di Selangor, Perak, Johor dan beberapa negeri yang lain yang mula dimenanginya sejak 2008 lalu melalui kerjasama dengan PKR dan DAP.

Tetapi untuk memaksa Haji Hadi berundur atau mengalahkannya dalam pemlihan bukan tugas yang mudah. Walaupun Haji Hadi dibayangi pelbagai kelemahan sejak beberapa tahun lalu, perwakilan Pas tidak akan membiarkannya kalah dalam pemilihan. Oleh itu mengalahkan Haji Hadi dalam pemilihan boleh dikira mustahil.

Haji Hadi juga tidak mungkin berundur atau dipaksa berundur kerana tiada jawatan lain yang boleh diberikan kepadanya sebagai ganti setelah kerusi Mursyidul Am yang sebelum ini dipegang oleh Allahyarham Nik Aziz Nik Mat telah pun diisi oleh Dr Haron Din.

Lagi pula akur untuk berundur dalam keadaan sekarang seolah-olah menunjukkan beliau tunduk kepada tekanan luar, terutamanya DAP.

Perkiraan sehingga ini, walaupun ada beberapa nama telah dicalonkan bakal mencabarnya dalam pemilihan nanti seperti Husam Musa dan Ahmad Awang, potensi untuk Haji Hadi kekal jauh lebih besar.

Mungkin yang bakal mencabarnya nanti hanyalah Ahmad Awang saja, seorang calon yang lebih mungkin kalah daripada menang manakala bagi Husam adalah tidak bijak beliau menerima pencalonan untuk menentang Haji Hadi dalam pemilihan kali ini. 

Dalam usianya yang masih muda dan merupakan material Presiden Pas di masa depan, Husam hanya perlu bersabar menunggu beberapa tahun lagi detik sesuai memihak kepadanya. Husam sebaiknya kekal mempertahankan jawatan Naib Presidennya saja.

Ruang untuk Haji Hadi berundur secara terhormat sebagai Presiden Pas dan memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil alih kerusinya mungkin terbuka semula selepas pemilihan nanti jika Tuan Ibrahim Tuan Man memenangi jawatan Timbalan Presiden menewaskan Mohamad Sabu.

Haji Hadi mungkin bersedia dan tiada masalah menyerahkan kerusi itu kepada Tuan Ibrahim yang pro kepadanya dan berpendidikan agama. Pewakilan Pas pro ulama juga barangkali lebih selesa dengan kepimpinan Tuan Ibrahim sebagai pengganti Haji Hadi.

Tetapi proses peralihan itu akan terhalang jika Mohamad Sabu terus kekal lagi sebagai Timbalan Presiden. Tidak mungkin beliau mahu menyerahkan kerusi Presiden kepada Mohamad Sabu untuk mengambil alihnya.

Ini bermakna jika dalam pemilihan 2015 ini, Mohamad Sabu dapat mempertahankan jawatannya, proses peralihan kepimpinan dalam Pas tidak mungkin berlaku. Dalam pemilihan berikutnya pada 2017, Haji Hadi pasti akan mempertahankan jawatannya sekali lagi.

Ketika itu, sebagaimana pemilihan kali ini, Haji Hadi juga akan kekal lagi sebagai Presiden Pas. Tetapi selepas itu akan berlangsung pilihanraya umum ke 14 yang tempoh akhirnya ialah Mei 2018.

Sudah tentu kepimpinan Haji Hadi akan memberi kesan besar dari segi sokongan pengundi bukan Melayu kepada calon-calon Pas dalam pilihanraya itu nanti.

Dengan jumlah ahli melebihi sejuta orang dan menjadi parti paling besar dalam PR, malangnya kepimpinan Haji Hadi yang ditolak oleh pengundi bukan Melayu hanya akan menyebabkan parti itu kekal di kedudukan paling sedikit menang kerusi dalam pilihanraya akan datang nanti.

Itulah nasib Pas era Haji Hadi. ( SH 26/03/2015 )

No comments: