Pembelaan Anwar dalam dakwaan liwat tidak berwibawa, kata Mahkamah Rayuan

Pembelaan Anwar dalam dakwaan liwat tidak berwibawa, kata Mahkamah Rayuan

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

April 18, 2014
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam kertas penghakiman yang dikeluarkan hari ini berkata penafian Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa diarah membela diri tidak diambil kira untuk mewujudkan keraguan dalam kes pendakwaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 April, 2014. Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam kertas penghakiman yang dikeluarkan hari ini berkata penafian Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa diarah membela diri tidak diambil kira untuk mewujudkan keraguan dalam kes pendakwaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 April, 2014. Mahkamah Rayuan yang mensabitkan hukuman Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan liwat memutuskan kenyataan ketua pembangkang itu di kandang tertuduh tidak berwibawa kerana ia adalah penafian kosong.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam kertas penghakiman yang dikeluarkan hari ini berkata penafian Anwar semasa diarah membela diri tidak diambil kira untuk mewujudkan keraguan dalam kes pendakwaan.

"Satu pembelaan berwibawa adalah seseorang menjawab bukti yang ditunjukkan oleh pihak pendakwaan. Ia juga penting untuk tertuduh (Anwar) menjelaskan kesnya," kata penghakiman setebal 85 muka surat itu.
Penghakiman itu menyatakan penting bagi Anwar mengemukakan keterangan untuk menjawab dakwaan dalam pertuduhan ke atasnya.

"Dalam kes ini, tertuduh tidak pun menafikan beliau berada di tempat kejadian jenayah pada masa tersebut dan tarikh seperti dalam pertuduhan itu," kata penghakiman.

Pada 7 Mac, barisan hakim yang diketuai Balia menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas ketua umum PKR itu bagi membenarkan rayuan Putrajaya untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar pada tahun 2012.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menanti keputusan rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan dengan wang jaminan sebanyak RM10,000 seorang penjamin.
Anwar, 66, dituduh meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Hukuman liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan pesalah juga boleh dikenakan sebatan.

Anwar membuat rayuan terhadap sabitan tersebut, bagaimanapun Putrajaya merayu untuk meningkatkan hukuman penjara.

Penghakiman juga menyatakan Anwar memberi satu notis alibi tidak berada di tempat kejadian sebelum permulaan perbicaraan, tetapi tidak meneruskan pembelaannya yang hanya diketahui dirinya sendiri.
"Ia penting untuk menyatakan alibi mewakili suatu pembelaan lengkap untuk membebaskan tertuduh daripada kesalahan yang dituduh," kata penghakiman.


Penghakiman itu menyatakan bahawa pihak pendakwaan menekankan kegagalan Anwar untuk memanggil mana-mana saksi bagi menyokong pembelaan alibi menimbulkan keraguan bona fide ke atas pembelaannya.
Penghakiman tersebut menyatakan antara saksi yang dinamakan dalam notis alibi ialah isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim dan ketua kakitangan, Ibrahim Yaacob.


"Saksi-saksi ini, sepatutnya ada dan berada bersama tertuduh bagi menyokong alibinya adalah tulen," kata penghakiman. – April 18, 2014.