KUALA LUMPUR 28 Okt: Kerajaan digesa menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat pembaziran Kementerian Pertahanan yang membeli kenderaan berperisai berjumlah RM7.55 bilion.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata, ia penting kerana pembaziran itu berterusan sejak Datuk Seri Najib Razak memimpin kementerian itu.
Najib ialah menteri pertahanan sehingga 2009 sebelum kementerian itu diterajui Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
“Jumlah pembaziran yang didedah itu cukup tinggi malah Ketua Audit Negara sebelum ini mendesak segala pembaziran yang berlaku itu segera diperbetulkan.
“Oleh itu, kita mendesak satu jawatankuasa khas bagi menyiasat pembaziran itu,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.
Pada perbahasan di Parlimen sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoal tindakan kementerian Pertahanan membeli 257 kenderaan perisai berharga RM7.5 bilion, iaitu enam hingga tujuh kali lebih mahal berbanding harga pasaran.
Tony Pua dalam kenyataannya berkata, beberapa kenderaan berperisai yang hampir sama, memiliki harga yang lebih rendah di pasaran.
Antaranya, tentera Portugal yang membayar RM4.4 juta untuk setiap satu kenderaan berperisai model Pandur II 8×8.
Manakala versi terkini kenderaan berperisai model Pirahan III 8×8 yang dibangunkan Swiss MOWAG GmBH pula hanya berharga RM3.9 juta setiap satu.
Sebelum ini, kementerian pertahanan turut membazirkan wang rakyat dengan membeli enam kapal peronda pesisir pantai (OPV) dari Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada harga RM1 bilion dengan harga keseluruhan RM6 bilion.
Jumlah itu lima kali ganda lebih mahal berbanding apa yang dibayar Royal New Zealand Navy untuk tujuan sama.
Kementerian Pertahanan juga membeli helikopter Eurocopter EC275 pada harga RM190 juta setiap satu berbanding Brazil yang hanya membeli helikopter itu hanya RM82 juta setiap satu.
Ini bermakna kementerian itu membazirkan wang rakyat sebanyak RM108 juta.
Sekali imbas angka-angka tiga kontrak ini – kenderaan berperisai, kapal peronda dan helikopter – menandakan berlakunya ketirisan dan pemborosan wang rakyat sekitar RM12 bilion daripada urusniaga kementerian itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22284