SHAH ALAM 27 OKT : Dakwaan seorang ahli akademik kononnya kaum Cina cenderung memilih pemimpin yang korup berbanding pemimpin yang menegakkan negara Islam ditolak pemimpin Pakatan Rakyat berbangsa Cina.
Adun Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin berkata kenyataan Dr Ridhuan Tee Abdullah dari Universiti Pertahanan Malaysia adalah satu provokasi yang ekstrem sedangkan pada hakikatnya kehadiran beliau tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat cina.
Tze Tzin berkata majorit kaum cina hari ini membuat pengiraan kepentingan kebajikan dan persekitaran ekonomi yang sihat dalam memilih pemimpin.
"Itu tidak benar (kenyataan Ridhuan), kita sedia maklum ramai pemimpin PAS mendapat tempat dihati kaum cina seperti Nizar Jamaluddin yang mana beliau mendapat undi lebih 80 peratus daripada kaum cina di Bukit Gantang, pemilihan ini dibuat atas sebab karisma dan peribadi baik beliau dan berjaya membawa pembaharuan di Perak.
"Walaupun beliau PAS, tiada masalah untuk kaum cina memilih beliau."katanya.
Ridhuan Tee yang juga merupakan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia melontarkan pendapatnya itu dalam Wacana Sinar (Siri-8) Hudud-Dilema dan Pelaksanaan dipremis Kumpulan KarangKraf baharu-baharu ini.
Beliau berkata hujahnya berasaskan kajian yang pernah dilakukan ke atas tren pengundi Cina.
Sementara itu Adun Sekinchan, Ng Suee Lim turut berpendapat bahawa kaum cina lebih cenderung memilih pemimpin yang berwibawa seperti apa yang diterjemahkan pada pilihanraya lalu.
Lim menambah, kejayaan Pakatan Rakyat merampas lima buah negeri adalah antara bukti bahawa kaum cina di Malaysia bertindak memilih pemimpin yang berintegriti, berkebolehan, bersih dan amanah tanpa mengira mana-mana parti yang dipertandingkan termasuk parti Islam PAS.
"Perkara ini telah dibuktikan pada 8 Mac 2008, dimana masyarakat cina majoritinya telah menolak kepimpinan Barisan Nasional.
"Walaupun ia kelihatan hanya pada lima buah negeri, tetapi saya yakin tren ini akan berterusan pada PRU-13 dimana masyarakat cina sudah bersedia secara majoritinya 70 peratus ke atas sekali lagi akan memilih pemimpin yang amanah, bersih dan telus."jelasnya.
Lim yang dihubungi TvSelangor turut menyifatkan kenyataan Ridhuan sebagai pandangan peribadi yang berkait rapat dengan pengalaman lampau penceramah bebas itu.
Mengulas lanjut, Lim berkata tiada masalah untuk masyarakat majmuk menerima undang-undang Islam sekirannya diberi penjelasan yang tepat serta tidak menimbulkan konflik dan ketengangan antara kaum.
"Tetapi harus diingatkan bahawa dunia sudah berubah, sekirannya terdapat satu benda yang baik (kepimpinan) dan mampu ditarbiah untuk penjelasan yang meyakinkan, masyarakat majmuk semua akan menyokong kecuali perkara itu banyak menimbulkan kontroversi."katanya.
Adun Kinrara, Teresa Kok Suh Sim berkata peranan Ridhuan dilihat seperti agen Umno dan kenyataannya itu secara tidak langsung mencerminkan bahawa beliau terperangkap dalam kekeliruan dirinya sendiri.
"Seorang yang keliru dari segi pemikirannya, kenyataan yang dilontarkan itu (kajian) tidak tepat kerana keputusan pilihanraya lalu membuktikan kaum cina dan masyarakat bandar memilih PAS, walaupun parti itu berpandukan ideologi Islam."katanya.
Teresa turut berpandangan kaum cina berharap untuk melihat sistem dua parti diamalkan di Malaysia dalam merealisasikan negara demokrasi.