Najib Serah Kepada AG, Bertindak Atas Tiga Pegawai SPRM



PUTRAJAYA 28 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu beliau menyerahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan ke atas tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

“Berkenaan dengan kedudukan tiga orang (pegawai) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja, terserah kepada SPRM dan polis mengadakan siasatan mereka dan bagi Peguam Negara menyiasat tindakan susulan,” kata beliau kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia pertama dengan pakar-pakar di pelbagai bidang di Pejabat Perdana Menteri semalam.

Menurut Najib, laporan yang diputuskan oleh suruhanjaya itu tidak menjejaskan imej SPRM kerana hanya melibatkan tiga individu berkenaan dan bukannya keseluruhan agensi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang membacakan keputusan suruhanjaya diraja menyiasat punca kematian Beng Hock memberitahu ,suruhanjaya itu sebulat suara memutuskan mendiang membunuh diri ekoran terbeban dengan sesi soal siasat oleh tiga pegawai SPRM.

Ketiga-tiga mereka adalah pengarah SPRM Negeri Sembilan Hishamuddin Hashim, yang ketika itu timbalan pengarah SPRM Selangor dan dua pegawai penguatkuasanya Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus yang terbabit menyoal-siasat Beng Hock.
Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, bangunan itu.

No comments: