SHAH ALAM 14 JUN : Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin menyelar tindakan setengah pihak yang membantah serta membuat laporan polis berhubung langkah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan.
Justeru, perhimpunan BERSIH ini bukan sahaja perlu didokong oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini bahkan setiap wakil rakyat yang telah dipilih oleh pengundi juga sewajarnya menyertainya.
Katanya, ini kerana perhimpunan BERSIH diadakan secara bertanggungjawab, aman dengan matlamat murni agar pilihan raya bebas dan adil diadakan di negara ini.
Oleh demikian Zaid memberitahu jemputan untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang sudah pun dipanjangkan Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan perlu disambut baik parti-parti politik baik daripada pembangkang mahupun daripada kerajaan.
"Sepatutnya apa yang dibuat oleh BERSIH ini perlu disokong semua pihak kerana ia bukan difokuskan untuk pembangkang sahaja. NGO-NGO mengajak semua pengundi tak kira dari parti mana untuk turut serta demi menjaga kepentingan mereka sendiri supaya pilihan raya di Malaysia dijalankan dengan bersih,telus dan adil. Supaya kita punya undi itu benar-benar bermakna," katanya memberitahu Tv Selangor.
"PERKASA sekalipun patut bersama-sama dengan BERSIH dalam menjayakan perhimpunan ini, malah siapa-siapa sahaja yang di negara ini wajar untuk menyertainya supaya hasrat rakyat dan kehendak rakyat betul-betul teserlah dan dapat dizahirkan melalui pengundian,"tegasnya.
Bersih 2.0 akan berhimpun pada 9 Julai ini untuk menuntut enam perubahan dalam sistem pilihan raya yang dijalankan sekarang.
Tuntutan mereka itu meliputi penggunaan dakwat kekal, pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, tempoh minimum kempen selama 21 hari, akses kepada media yang bebas dan adil, pengukuhan institusi awam, menghentikan rasuah sewaktu pilihan raya dan juga menghentikan amalan politik kotor sewaktu berkempen.
Satu majlis pelancaran perhimpunan besar-besaran juga akan diadakan pada 19 Jun ini.
Mengulas lanjut berhubung laporan polis yang dibuat dalam tempoh empat hari di Perlis untuk membantah "perhimpunan Bersih" pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur disifatkan Zaid sebagai pelik.
Malah Zaid turut mempersoalkan tindakan setengah pihak yang membantah perhimpunan itu.
"Mereka yang membantah terutamanya mereka-mereka yang telah dipilih oleh rakyat merupakan satu perkara yang pelik. Adakah mereka tidak bersetuju dengan kita yang inginkan satu pilihan raya yang adil dilakukan?Adakah mereka tidak bersetuju kalau kita adakan pilihan raya yang betul-betul bersih? soalnya.
" Bagi kita amat pelik kalau ada orang yang tidak bersetuju, terutamanya orang-orang yang terlibat dalam politik kerana ini adalah untuk kebaikkan mereka," katanya lagi.
Sebanyak 36 laporan polis telah dibuat dalam tempoh empat hari di Perlis, membantah cadangan pembangkang mengadakan "perhimpunan Bersih" pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.
Jelas Zaid lagi, pihak yang terlibat dalam membuat laporan polis ini sewajarnya tidak berbuat demikian, namun apa yang perlu adalah untuk meneliti terlebih dahulu hasrat yang terkandung dalam cadangan itu.
"Mereka perlu meneliti kembali apa yang kita cadang dan sarankan ini agar hasrat pengundi ini betul-betul terserlah dan itulah yang seharusnya terjadi agar proses pemilihan itu nanti tidak akan ada orang yang akan mempertikaikan keputusan undi,"tambahnya lagi.
Semalam, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas, berkata kumpulannya itu akan berarak menentang penunjuk perasaan BERSIH 2.0 bagi membuktikan bahawa tidak semua rakyat Malaysia setuju bahawa pilihan raya di negara ini adalah “kotor”.
Beliau yang juga pernah dilucutkan gelaran “Datuk” oleh Sultan Kelantan mendakwa tindakannya itu adalah demi menjamin kepentingan demokrasi.