MP Pembangkang Mahu Malaysia Halang Mugabe, Bashir Masuk Malaysia



KUALA LUMPUR 14 JUN : Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dan Presiden Sudan, Omar Al-Bashir patut dihalang daripada memasuki negara ini bagi menghadiri forum Ekonomi Antarabangsa yang akan berlangsung di Putrajaya pada 19 hingga 21 Jun ini.

Gesaan itu dibuat oleh ahli parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran kepada Kerajaan Persekutuan berikutan rekod buruk dan kejam kedua-dua pemimpin Afrika itu yang menyebabkan banyak pembunuhan dan kematian berlaku di negara mereka.

Katanya, Mugabe memiliki rekod yang buruk di mana mengikut laporan beratus-ratus aktivis pembangkang di Zimbabwe telah diseksa dan dibunuh oleh regimnya.

Beliau seterusnya berkata, lebih dari 300,000 orang telah mati di Sudan sejak perang saudara tercetus pada 2003 dan Mahkamah Kriminal Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan sapina untuk menahan Bashir.

“Malaysia telah mengumumkan pada Mac lalu akan menyertai ICC iaitu satu pertubuhan bagi mengelak dan mencegah pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan kejahatan pencerobohan.

“Maka dengan ini Malaysia sepatutnya menghalang kemasukan kedua-dua pemimpin itu ke negara kita berdasarkan latarbelakang mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata,tujuan utama menjadi ahli ICC adalah supaya imej Malaysia serta kedudukan kita dalam dunia antarabangsa dari segi kedaulatan undang-undang serta hak asasi manusia dapat dipulihkan.

Katanya, mengikut Undang-Undang Rom, sebagai negara anggota ICC, Malaysia bertanggungjawab untuk menahan mana-mana pihak yang telah dikenakan waran taqngkap oleh pihak ICC.

Justeru beliau mempersoalkan apakah Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab dengan menahan Bashir dan menghantarnya ke ICC atau Malaysia akan menganggap penyelewengan hak asasi manusia hanya isu dalaman di Sudan.

Katanya lagi, jemputan ke atas Mugabe melanggar nilai murni dalam sebuah negara demokrasi iaitu seorang yang jelas ganas terhadap rakyatnya dan seharusnya dihalang daripada memasuki negara ini.

“Penahanan ke atas mereka ini harus menjadi ujian dan menerusi tindakan ini barulah kita boleh berbangga sebagai salah sebuah negara yang dikatakan mematuhi perjanjian dan bertanggungjawab
terhadap masyarakat antarabangsa di mana kita bertindak tanpa rasa takut atau berat sebelah,” katanya.

Tegasnya,pembatalan jemputan ke atas Mugabe dan Bashir perlu dilakukan serta mengambil segala tindakan yang dikira wajar bagi membantu ICC menahan Bashir.

No comments: