PAS hipokrit jika kekal dalam kerajaan Selangor, Pulau Pinang, kata Mahfuz


PAS hipokrit jika masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang, kata bekas ketua penerangan parti Islam itu Datuk Mahfuz Omar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Julai, 2015.PAS hipokrit jika masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang, kata bekas ketua penerangan parti Islam itu Datuk Mahfuz Omar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Julai, 2015.
























 Datuk Mahfuz Omar menyifatkan PAS akan dilihat hipokrit jika masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang pada ketika parti itu sudah memutuskan hubungan dengan DAP, sekutu mereka sebelum ini dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bekas ketua penerangan PAS itu mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang memuktamadkan untuk memutuskan kerjasamanya dengan DAP pada satu mesyuarat kelmarin.

"Apabila PAS sudah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, maka PAS seharusnya tidak bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.


"Jika tidak, rakyat akan melihat PAS sebagai hipokrit kerana masih terus dilihat mempunyai hubungan dalam pemerintahan Selangor dan Pulau Pinang," kata Mahfuz yang dipetik dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Kontroversi isu putus hubungan PAS dan DAP tercetus sejak muktamar tahunan parti itu menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama tersebut awal bulan lalu.

Susulan keputusan itu, kerajaan DAP Pulau Pinang menyatakan beliau menerima tanpa soal sekiranya ahli PAS dalam kerajaannya mahu meletak jawatan, tetapi mereka enggan atas alasan pelantikan dibuat parti.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga sudah memberi kata dua kepada ahli PAS yang enggan berganjak daripada kerajaan negeri.

Sementara itu di Selangor, PAS masih lagi berada dalam pentadbirannya walaupun sudah menamatkan kerjasamanya dengan DAP di negeri tersebut.

Mahfuz berkata, langkah seterusnya kini bergantung kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang perlu mengambilkira keputusan yang dibuat Majlis Syura itu untuk menentukan hala tuju di Selangor dan Pulau Pinang.

"Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu menentukan dengan bijaksana apa yang perlu dilakukan dengan ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang," katanya.
Mahfuz juga mengulangi pendirian PAS perlu berundur daripada kerajaan negeri.

"Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan.

"Terpulang kepada mereka," katanya.

Dewan Ulama PAS pada muktamar tahunan ke-61 mengusulkan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP selepas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat kecaman hebat daripada parti sekular itu. – 12 Julai, 2015.

No comments: