Demo Bersih lebih 30 jam desak Najib letak jawatan

Demo Bersih lebih 30 jam desak Najib letak jawatan

(Oleh: Nadia Hanafi)

PETALING JAYA, 30 JULAI- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) sekali lagi akan menghimpunkan ratusan ribu rakyat untuk turun ke jalan raya dalam himpunan kali keempat yang akan diadakan di tiga bandar di Malaysia.
Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, himpunan tersebut bagi mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur sebagai Perdana Menteri dan akan dilakukan serentak di Kuala Lumpur, Kuching Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
bersih demoHimpunan itu  akan diadakan bermula jam 2 petang pada 29 Ogos dan berlanjutan sehingga melepasi tengah malam 30 Ogos, selama lebih 30 jam.
“Masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia kehadapan bagi menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya dan menamatkan rasuah yang berlaku sejak zaman Dr Mahathir.
“Najib mengambil pelbagai tindakan yang boleh bagi melindungi rasuah. Beliau dengan keras menolak harapan rakyat demi keadilan dan integriti. Beliau sudah pun hilang kelayakan untuk terus berada di pejabatnya,” katanya dalam sidang media hari ini.
Maria Chin berkata, terdapat empat tuntutan BERSIH 2.0 dalam himpunan ini iaitu membersihkan pilihan raya, kerajaan, menyelamatkan ekonomi dan menyatakan hak membantah.
“Bersih 2.0 juga berpandangan bahawa rasuah di peringkat tertinggi di Malaysia adalah disebabkan oleh tiga perkara, pilihan raya dimanipulasi, penumpuan kuasa di eksekutif, dan penindasan terhadap golongan penentang,” katanya.
Jelasnya, Bersih 2.0 juga menuntut 10 pembaharuan antaranya termasuk institusi pilihan raya, institusi Parlimen, menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) badan berperlembagaan yang menjawab kepada Parlimen dan menghalang perdana menteri memegang jawatan menteri kewangan.
Oleh itu Maria menyeru rakyat Malaysia menyertai himpunan ini bagi melakukan pembaharuan terhadap institusi negara dan menamatkan rasuah yang dikaitkan dengan perdana menteri.
Turut hadir dalam sidang media tersebut beberapa badan bukan kerajaan NGO seperti Institut rakyat, Lensa, Sisters in Islam, Association of Women Lawyers, Lawyers For Liberty (LFL) dan beberapa NGO lain.

No comments: