Panglima ATM Tak Perlu Jawab, Kami Tunggu Jawapan SPR-Suhaizan Kaiat




SHAH ALAM 20 0GOS : Tindakan Panglima Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mencampuri urusan politik apabila tampil menjawab pengakuan bekas anggota tentera yang terlibat dalam memangkah ribuan kertas undi pos, diselar Pemuda PAS.

Pengarah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat yang terlibat secara langsung mendedahkan aktiviti berkenaan berkata, pihak yang harus menjawab pendedahan itu ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah katanya, tindakan Zulkifeli menyalahkan PAS dan menafikan dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh lima bekas anggotanya juga "tidak boleh berlaku".

Hal ini kerana, ATM katanya haruslah apolitikal dan hanya akan menyokong kerajaan yang dipilih rakyat dan juga setia kepada Yang Di-Pertuan Agong.

“ Kita nak maklum balas daripada pihak SPR sendiri macam mana ianya boleh berlaku.. Dan kita harapkan, panglima ini tidak campur dalam urusan politik kerana anggota tentera memang sepatutnya tidak terlibat dalam hal-hal politik dan kita mahu benda ni berterusan sampai bila-bila,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut Suhaizan, PAS hanya mahukan penjelasan daripada badan yang bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan proses pilihan raya dan bukannya campur tangan pihak yang tidak terlibat.

SPR sehingga kini masih belum menjawab mengenai pendedahan pemuda PAS berhubung pegawai ATM yang diarah memangkah ribuan kertas undi pos.

Baru-baru ini lima bekas anggota tentera mengaku diarah oleh pegawai atasan mereka untuk menjalankan kerja-kerja memangkah kertas undi pos bagi pihak orang lain dalam satu sidang media anjuran PAS.

Mereka adalah Abu bin Kasim, Mejar Bersara Rizman Mansor, Komando Mohd Kamil Osman, Mohd Nasir Ahmad dan Kamaruzzaman Ibrahim.

“ Lima individu ini telah mengaku dengan penuh insaf dan mahu membongkar perkara-perkara yang mereka telah lakukan semasa dulu. Mereka rasa mereka bersalah lakukan tersebut dan mereka sekarang ini mahu menyatakan bahawa undi pos ini memang terbuka kepada ruang manipulasi," kata Suhaizan lagi.

Sementara itu dalam portal Malaysiakini semalam, pakar Perlembagaan dan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari menyelar kenyataan Zulkifeli berhubung penafiannya terhadap dakwaan berlakunya manipulasi undi pos.

Menurut Aziz, kenyataan Zulkifeli, khususnya soal kesetiaan kepada kerajaan adalah ’"memalukan perkhidmatan" dan menunjukkan kegagalannya memahami konsep kesetiaan dalam konteks negara dan warga.

Abdul Aziz juga berkata, tindakan Zulkifeli 'menyerang' kembali Pemuda PAS yang mengetengahkan isu itu juga tidak wajar kerana beliau sepatutnya berterima kasih terhadap dewan itu.

No comments: