Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lembap pada suku kedua tahun 2011 menunjukkan tanda-tanda yang membimbangkan. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot kepada hanya 4% (berasaskan tahun ke tahun), iaitu kadar paling perlahan semenjak suku keempat tahun 2009.
Adalah mudah untuk menyalahkan kelembapan pertumbuhan ini berpunca daripada iklim ekonomi global kerana penelitian terperinci menunjukkan bahawa wujud faktor domestik yang mempengaruhi hasil pertumbuhan dalam suku kedua tahun 2011.
Penguncupan ketara sebanyak 9.2% dalam sektor perlombongan akibat daripada penutupan penyelenggaraan kemudahan minyak mentah dan gas asli mempunyai kesan yang lebih besar terhadap pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan meskipun berlaku pertumbuhan pada skala sederhana dalam sektor-sektor lain.
Ekonomi kita masih terlalu bergantung kepada pendapatan dari sumber-sumber hidrokarbon yang semakin berkurangan yang hanya berupaya menjana ekonomi Malaysia sehingga ke dekad yang akan datang. Malah, ketaksuban kerajaan terhadap industri minyak dan gas perlu dilihat dengan berhati-hati kerana ini akan menganggu tumpuan terhadap pembangunan sektor ekonomi lain yang lebih mampan untuk generasi akan datang. Meskipun industri minyak dan gas memberikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa singkat; ketagihan terhadap hasil keuntungan petroleum untuk meningkatkan pertumbuhan sektor-sektor lain yang lembap adalah berbahaya.
Pertumbuhan dalam aktiviti pembinaan juga merosot dengan ketara kepada 0.6% pada suku kedua tahun ini, iaitu kadar pertumbuhan paling perlahan sejak suku keempat tahun 2006. Umum mengakui bahawa data-data ekonomi sedia ada menunjukkan kegagalan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan menjadi tanda aras kelembapan projek-projek yang telah diumumkan sehingga kini.
Pentadbiran UMNO-BN mampu membelanjakan sejumlah besar wang hasil cukai rakyat ke atas untuk kos pengiklanan untuk menonjolkan ETP namun ujian sebenar kejayaan adalah di peringkat akar umbi. Seandainya hasil ekonomi tidak dinikmati di peringkat bawahan, rakyat tidak akan bertolak ansur lagi dengan pendekatan Perdana Menteri Najib Razak yang selalu membuat pengumuman ekonomi secara besar-besaran namun gagal dari aspek pelaksanaan.
Melihat kepada risiko kelemahan memuncak terhadap prospek pertumbuhan Malaysia di tengah-tengah persekitaran luaran yang lemah, saya percaya bahawa Kerajaan Persekutuan berkemungkinan akan gagal dalam sasarannya untuk mencapai pertumbuhan KDNK sekurang-kurangnya 6% bagi tahun 2011 dan 2012, iaitu satu kemestian berdasarkan Model Baru Ekonomi (MEB) jika kita berhasrat untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Unjuran kadar pertumbuhan KDNK tahunan yang lebih realistik adalah di antara 4.5% - 5.0% bagi tahun 2011 dan 5.0% - 5.5% bagi tahun 2012, iaitu di bawah sasaran 6%. Malah, Gabenor Bank Negara sendiri telah meramalkan bahawa pertumbuhan KDNK tahunan bagi tahun 2011 adalah hampir 5% iaitu nilai yang lebih rendah dari julat ramalan Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak 5.0% - 6.0%.
Ini akan mengulangi kitaran kegagalan sasaran pertumbuhan ekonomi yang mana telah dilalui oleh Malaysia pada dekad terdahulu, bila mana pertumbuhan sebenar sentiasa lebih rendah daripada sasaran pertumbuhan yang dicanangkan. Apa yang lebih mustahak, ianya menandakan kegagalan dasar-dasar ekonomi pentadbiran kerajaan semenjak di peringkat awal.
*Kenyataan media oleh Mohamed Azmin Ali (gambar kanan) selaku Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).