Kelakar juga Ku Li ni…
Peguam, Zulhazmi Shariff secara sinis mengkritik pandangan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), berhubung kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dalam isu adendum berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Zulhazmi mempersoalkan tafsiran Ku Li yang merujuk kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, khususnya kenyataan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong boleh dilaksanakan “di mana-mana” tanpa terikat kepada lokasi atau proses tertentu.
Menurutnya, pandangan tersebut bersifat mengelirukan dan tidak selari dengan keseluruhan struktur Perkara 42, yang mengandungi 13 fasal dan perlu dibaca secara menyeluruh, bukan terhad kepada Fasal (1) semata-mata.
“Perkara 42 ada 13 fasal. Kena baca semua kerana ada antara fasal-fasal dalam Perkara 42 tu pula berkait dengan peruntukkan lain dalam Perlembagaan contohnya Perkara 42 (4)(a) yang berkait dengan Perkara 40 (3),” jelasnya.
Semalam, Ku Li dalam sidang medianya di Kuala Lumpur berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasanya di mana-mana sahaja termasuk dalam memberi pengampunan di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa hanya di tempat tertentu.
Keperluan bermesyuarat
Mengulas lanjut, Zulhazmi menegaskan bahawa meskipun kuasa muktamad pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong, ia tetap tertakluk kepada tatacara dan tertib Perlembagaan, termasuk keperluan bermesyuarat melalui Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42(11).
“Kalau dah boleh buat keputusan di mana-mana, buat apa ada Perkara 42(11) yang kata mesti ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan.
“Tugas Lembaga Pengampunan hanya bagi nasihat, Tuanku nak ikut atau tidak itu prerogatif Tuanku (bahasa Melayunya ikut suka Tuanku).
“Tapi Tuanku nak buat keputusan yang ikut nasihat atau ikut suka tu mesti dalam mesyuarat Lembaga bukan dalam kereta, dalam bot, dalam bas, dalam masjid atau di mana-mana.
“Itu aturannya. Tertibnya,” kata Zulhazmi yang pernah menjadi Ketua Biro Undang-undang Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan.
Dalam masa sama, mantan Exco Dewan Pemuda Pas Pusat yang meletakkan jawatan sebelum menyertai DAP itu berpendapat Ku Li tidak harus mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat sebagai kelakar sehingga menghakis imejnya sebagai tokoh politik berpengalaman dan disegani.
“Saya nasihat saja. Nak ikut atau tak, itu pun kuasa prerogatif Tengku sebab hidup serius sangat pun boring. Baik kita buat lawak, boleh jugak gelak hilangkan stres.
“Cuba tanya Tun M, dia setuju tak apa yang Ku Li cakap tu. Tanya saja bukan kena duit pun… paling-paling kena serang dengan geng taksub,” kata Zulhazmi lagi.
No comments:
Post a Comment