Isu adendum Najib: Peguam samakan dengan keputusan UMNO yang diubah selepas mesyuarat


 


Seorang peguam mengemukakan analogi mudah melibatkan senario mesyuarat UMNO ketika mengulas kontroversi berkaitan dakwaan wujudnya adendum membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Zulhazmi Shariff berkata, sekiranya dalam satu mesyuarat UMNO telah diputuskan bahawa seseorang bernama Akmal dilantik sebagai ketua jawatankuasa, keputusan tersebut sepatutnya kekal kerana ia telah dibincangkan dan dipersetujui bersama.

Namun, bayangkan jika selepas mesyuarat berakhir dan semua pihak pulang, Presiden parti tiba-tiba berpendapat jawatan itu lebih sesuai diberikan kepada individu lain, lalu satu ‘adendum’ dimasukkan untuk menggantikan nama Akmal dengan Helmy tanpa mesyuarat baharu diadakan.



“Cuba bayang juga dalam mesyuarat Umno, dah putuskan Akmal jadi ketua jawatankuasa apa-apalah.

“Tiba-tiba balik rumah, Zahid kata patutnya bagi Helmy, jadi Zahid masukkan adendum ganti nama Akmal kepada Helmy.

“Agak-agak Akmal marah ke tak?” tempelaknya merujuk kepada implikasi ketidakadilan dan pencabulan proses membuat keputusan secara kolektif.

Mengubah keputusan

Beliau menegaskan bahawa adendum tidak boleh digunakan untuk mengubah keputusan yang tidak pernah dibincangkan atau diluluskan dalam mesyuarat asal.

Adendum, jelasnya, hanya wajar digunakan untuk merekodkan perkara yang telah diputuskan tetapi tertinggal daripada minit mesyuarat, bukannya menambah keputusan baharu secara unilateral.

“Adendum ini bukan dibuat suka-suka. Ia berfungsi untuk menguatkan atau melengkapkan keputusan asal yang memang telah dipersetujui,” katanya.

Menurutnya, dalam kes Najib, bekas Perdana Menteri berkenaan, tegasnya, adalah penyamun yang sudah disabitkan kesalahan.


“Kesalahan Najib pula bukan kesalahan trafik tapi kesalahan menyamun duit negara iaitu duit rakyat, duit kita tak kira kita ni bangsa apa, agama apa, ahli parti apa.

“Duit kita Najib samun guna untuk diri dia. Itu keputusan mahkamah bukan saja-saja tuduh.
Atas nama dia adalah Najib Razak, bukan orang biasa macam kita, dia mohon pengampunan diRaja dan Pengerusi Lembaga Pengampunan berikan diskaun tempoh hukuman,” jelasnya.

Pernah dilantik sebagai Ketua Biro Undang-undang Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan, Zulhazmi menjelaskan bahawa walaupun Najib telah diberikan pengurangan tempoh hukuman melalui pengampunan diraja, isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Mahkamah putuskan adendum tu tidak sah sebab tak bincang dalam mesyuarat.

“Malah, nak tahan Najib di rumah pun tak boleh sebab kita tak ada undang-undang dan prosedur tahanan rumah tu.

“Pakat riuh nak marah. Gila ke apa,” tegas beliau.

Pesalah jenayah

Dalam masa sama, Zulhazmi turut mengkritik sikap segelintir pihak yang bersimpati secara berlebihan terhadap pesalah jenayah, termasuk dalam kes Najib.

“Sehari dua lepas tular ada kes sepasang suami isteri guna kad bank seseorang untuk makan di KFC, ada orang simpati kononnya biarlah. Mungkin dia terdesak tak ada duit dan anak dia nak makan.

“Simpati pada orang buat salah malah mencuri hak orang ni memang ghapla.


“Sama macam simpati pada Najib. Lupa kot sampai hari ini Kerajaan terpaksa tanggung dan bayar hutang segala duit yang Najib curi?

“Tak paham lagi ka? Kita punya susah cari duit, Najib curi, lepas tu dapat diskaun hukuman, duduk penjara pun kita tanggung makan minum,” kata beliau lagi.






No comments: