19 December 2025
Kes semakan kehakiman berkaitan titah adendum yang membenarkan Najib Razak diberi tahanan rumah akan diputuskan Mahkamah Tinggi pada Isnin, 22 Disember ini.
Kemelut titah adendum itu telah melalui jalan yang berliku-liku sebelum sampai ke tahap yang dinanti-nantikan ini, terutama buat penyokong-penyokong Najib.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pada mulanya menetapkan 5 Januari 2026 bagi memberikan keputusan selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.
Bagaimanapun tarikh itu diawalkan kepada 22 Disember.
Menjelang detik yang dinanti-nantikan itu, peguam Naiib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, jika keputusan Mahkamah Tinggi Isinin nanti memihak kepada bekas Perdana Menteri itu, keputusan tahanan rumah mesti dilaksanakan serta-merta.
“Saya ingin menegaskan jika keputusan memihak kepada kami, beliau mesti menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dengan serta-merta,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Bagaimanapun, menurut Muhammad Shafee, beliau memahami beberapa prosedur perlu dibuat sebelum bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan keluar dari Penjara Kajang.
“Isu yang akan timbul ialah di rumah mana anak guam kami akan ditempatkan, siapa yang akan mengawal di lokasi berkenaan.
“Saya faham persiapan perlu dibuat di kediaman yang akan dipilih, namun saya percaya anak guam kami mesti dibenarkan pulang tanpa berlengah lagi,” tambah beliau.
Ditanya mengenai kemungkinan Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan (jika keputusan mahkamah berpihak kepada Najib), Muhammad Shafee berkata ia tidak akan menjejaskan perlaksanaan keputusan mahkamah itu.
Katanya, ia juga tidak akan mempengaruhi keputusan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan diputuskan mahkamah pada Jumaat, 26 Disember depan.
“Jangan campur-adukkan kes 1MDB dengan titah adendum membabitkan kes SRC International Sdn Bhd.
“Kes ini melibatkan pembebasannya, yang mana Najib telah dipenjarakan di Penjara Kajang sejak Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya pada tahun 2022,” tegasnya.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan terbabit.
Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan.
Persoalan yang dinanti-nantikan sekarang ialah apakah keputusan mahkamah Isnin ini akan memihak kepada Najib yang membolehkannya menjalani tahanan rumah atau beliau akan terus menjadi penghuni Penjara Kajang? –ShahbudinHusin 19Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/dapatkah-najib-tahanan-rumah-22-disember-ini/
No comments:
Post a Comment