
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 6 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 6 Apr – Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di sini, membincangkan mengenai isu serantau yang penting termasuk tarif baharu yang diterapkan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ASEAN.
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu juga menyentuh usaha dan tindakan bersama dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Myanmar yang terkesan akibat bencana gempa baru-baru ini.

“Semoga semangat Aidilfitri terus memperkuat hubungan persaudaraan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia atas nama keamanan dan kesejahteraan serantau,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Prabowo serta delegasi, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 5.52 petang.

Ketibaan Prabowo disambut Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Shahrol Anuwar Sarman, yang kemudiannya melintasi barisan kawalan kehormatan statik oleh 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Nor Saifullah Mahmad @ Mohammed.
Prabowo kemudiannya menghadiri majlis makan malam secara tertutup sebelum berlepas pulang malam ini.

Ini adalah lawatan ketiga Prabowo ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Oktober 2024.
Media antarabangsa hari ini melaporkan pertemuan kedua-dua pemimpin itu adalah kunjungan sempena Aidilfitri serta penghormatan kepada Anwar sebagai Pengerusi ASEAN.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula awal tahun ini, dengan Tema Kepimpinan ASEAN 2025 Malaysia adalah ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sebelum ini, Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak lima kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Pada 2023, Indonesia adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (USD20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh sama pada 2023.
No comments:
Post a Comment