
Pengenalan Komuniti MADANI oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil wajar diperkasa para penggeraknya dengan dilengkapi dengan pengetahuan asas termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI). Foto Kementerian Komunikasi
PENDAPAT, 5 Apr – Pengenalan Komuniti MADANI yang diluncurkan pada 2023 ternyata memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian sosial serta memajukan negara melalui nilai-nilai inklusif dan progresif.
Namun, dalam era digital yang pesat berkembang, peranan komuniti ini perlu disemak dan diperkasa agar selari dengan perkembangan teknologi semasa, termasuk pemahaman terhadap kecerdasan buatan (AI).
Peningkatan kesedaran dan literasi digital dalam kalangan masyarakat perlu diberi penekanan supaya teknologi AI dapat dimanfaatkan secara optimum.

Justeru, kerajaan yakin penubuhan 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara mampu memperkasakan usaha penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat dengan kerjasama semua pihak di peringkat akar umbi termasuk penggunaan AI.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penubuhan tersebut dan bagi Pulau Pinang, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) telah menubuhkan sebanyak 120 Komuniti MADANI membabitkan 40 kawasan DUN.
“Komuniti MADANI merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang diurus tadbir oleh JaPen untuk memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat, selain membantu menyalurkan maklumat dan inisiatif kerajaan yang sahih dan pantas ke peringkat akar umbi secara berterusan.

“Kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam usaha melestarikan komuniti yang berinformasi bagi menyampaikan maklumat yang sahih, telus dan bermanfaat,” katanya.
Komuniti MADANI boleh berfungsi sebagai platform untuk mendidik rakyat tentang kepentingan AI dalam kehidupan harian, termasuk dalam sektor ekonomi, pendidikan, dan keselamatan.
Aktiviti seperti bengkel, seminar serta program kesedaran boleh dianjurkan bagi membantu masyarakat memahami potensi dan risiko AI, seterusnya memastikan teknologi ini digunakan secara bertanggungjawab.

Selain itu, AI boleh digunakan bagi memperkasakan inisiatif sosial Komuniti MADANI, seperti mempercepatkan penyampaian bantuan kepada golongan memerlukan melalui analisis data pintar.
Dengan sokongan teknologi ini, keputusan yang lebih efisien dapat dibuat untuk menangani isu sosial dengan lebih berkesan.
Oleh itu, pengukuhan peranan Komuniti MADANI dalam konteks teknologi moden amat penting bagi memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global serta mampu memanfaatkan AI secara positif demi kemakmuran negara.
No comments:
Post a Comment