
Parvane Heidaridehkordi, 38, dibatalkan pas lawatan jangka panjangnya, manakala suaminya Soo Thean Ling, 65, kehilangan status penduduk tetap.
SINGAPURA, 11 Feb – Singapura mengusir seorang wanita Iran dan suaminya warganegara Malaysia serta melarang mereka memasuki negara itu selepas didapati terbabit dalam aktiviti yang boleh mengancam keselamatan Singapura.
Menurut laporan The Straits Times (ST) yang memetik kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin, Parvane Heidaridehkordi, 38, dibatalkan pas lawatan jangka panjangnya, manakala suaminya Soo Thean Ling, 65, kehilangan status penduduk tetap.
Parvane terbabit dalam operasi sebuah agensi pelancongan berdaftar di Singapura yang menaja permohonan visa warga asing berkaitan keganasan untuk memasuki negara itu.
Siasatan mendapati agensi pelancongan itu, yang kini telah dibatalkan pendaftarannya, sebenarnya berfungsi sebagai samaran bagi operasi yang dikendalikan oleh warga asing di luar negara.
ST melaporkan, Soo mencuba dua kali untuk mendaftarkan sebuah syarikat bagi menjalankan perniagaan agensi pelancongan di Singapura selepas pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap agensi pelancongan pertama.
Menurut MHA, Soo merancang untuk membolehkan Parvane mengendalikan perniagaan itu, yang berkemungkinan terus menyokong kemasukan individu berkaitan keganasan ke Singapura.
Bagaimanapun, kedua-dua permohonan pendaftaran syarikat yang dikemukakan Soo ditolak atas faktor keselamatan negara.
MHA memaklumkan Parvane diisytihar sebagai ‘pendatang tidak diingini’ kerana terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan negara, manakala Soo diisytihar sebagai ‘pendatang terlarang’ atas dasar anggota keluarga Parvane.
No comments:
Post a Comment