KENYATAAN KETUA POLIS NEGARA! SKANDAL PANAS PEMERDAGANGAN MANUSIA!



Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suaminya antara 11 individu yang selesai dirakam keterangan berhubung sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengambil keterangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wartawan portal tempatan. “Kita sudah merakam keterangan 11 individu termasuk bekas timbalan menteri dan suaminya, seorang ahli perniagaan,” katanya, memetik Astro Awani. Menurut Razarudin, siasatan ketika ini tertumpu kepada peranan seorang Datuk Seri yang disyaki menjadi dalang utama dalam mengenal pasti pelabur yang berpotensi melabur di Myanmar. Pada masa sama, jelasnya, polis turut menyiasat peranan yang dimainkan lelaki berkenaan untuk mengambil kesempatan menjana keuntungan daripada pelabur ‘berpotensi’. “Selain itu, kita sedang mengenal pasti hubungan antara beberapa individu dan dua ahli perniagaan rakyat China,” katanya lagi. Terdahulu, tular satu video diterbitkan di Indonesia bertajuk “Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia” mengenai dakwaan pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar. Susulan itu, Mashitah yang pernah menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menafikan beliau terbabit dalam aktiviti kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti didakwa. Menganggap maklumat itu dikutip daripada media picisan di Indonesia, dia membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman pada 28 Ogos lalu berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO). Pada 28 Ogos lalu, MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar. Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket itu adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.