DI MANA KELEMAHAN KITA?


1. Sekitar tahun 1994, perkampungan al-Arqam Perlis di Bukit Chabang diserbu dan digeledah oleh pihak berkuasa keselamatan dan agama.


2. Bukan sahaja semua premis, bahkan semua bilik, semua ruang dan semua dinding ditemui foto wajah pengasas kumpulan itu, Ashaari.


3. Di pintu almari pakaian, di kulit buku, di kulit mashaf, di baju T, di kopiah, di meja makan, di dalam bilik tidur, di katil... terpampang foto wajah Abuya.


4. Ada juga kapsyen, "Pulanglah Abuya, kami menantikan Abuya, Abuya pemimpin kami", dan banyak lagi turut tertera di mana-mana sahaja.


5. Ketika itu manusia yang disapa Abuya itu dimaklumkan melarikan diri ke negara jiran kerana diburu oleh pihak berkuasa.


6. Akhirnya, kumpulan itu lumpuh dan ramai bekas anggotanya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan setelah melalui proses pemulihan.


7. Namun, kini wujud pula kumpulan baharu yang mewarisi kepercayaan dan amalan kumpulan al-Arqam yang sudah dilumpuhkan dan diharamkan itu.


8. Kumpulan baharu ini bukan baru wujud, bahkan wujud tidak lama selepas kumpulan asal berdepan tindakan pelumpuhannya oleh kerajaan.


9. Orientasi kumpulan baharu ini dipercayai tidak berbeza banyak dengan kumpulan dahulu.


10. Mereka menunggu kemunculan semula Abuya yang dipercayai tidak mati tetapi ghaib untuk memimpin pengikut kumpulan baharu ini sebagai tentera Imam Mahdi.


11. Selain Imam Mahdi, indoktrinasi kumpulan baharu ini ialah Aurad Muhammadiyyah, keturunan Bani Tamim, kekudusan pemimpin dan kesetiaan kepada jemaah.


12. Poligami dan wanita juga menjadi sebahagian agenda memperkasakan kesetiaan pengikut kepada pemimpin dan kumpulan baharu ini.


13. Kadang-kadang kita terfikir, apa sebenarnya yang sebahagian kecil anggota masyarakat kita mahu dengan menjadi pengikut kumpulan karut sebegini?


14. Kita tidak boleh lagi beralasan, setara kumpulan Ayah Pin pun ada pengikutnya, apatah lagi kumpulan sebegini?


15. Nampaknya sistem pendidikan kita, juga agensi agama kita mesti lebih terkehadapan dalam menambahbaik pendekatan pendidikan dan dakwah untuk membendung gejala tidak sihat ini.


Zola,

07092024



No comments: