FAIZAL AZUMU TIDAK PERLU MEROYAN, ANWAR IBRAHIM BUKTIKAN PM YANG PRIHATIN



1. Timbalan Presiden BERSATU Faizal Azumu tidak perlu meroyan dengan membuat komen bahawa kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) sebagai taktik memancing undi menjelang PRK Kuala Kubu Bharu (KKB). Ingin saya tegaskan bahawa penjawat adalah sektor penting pembangunan negara dan oleh itu tidak perlulah Faizal membuat tuduhan negatif sebegitu seolah-olah menghina penjawat awam yang selama ini telah berbakti kepada negara walaupun bekerja untuk 12 tahun tanpa kenaikan gaji. 


2. Ingin saya ingatkan Faizal, PMX bukan seperti Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin yang pada bulan Ogos 2020 berjanji bantuan JKM akan dinaikkan ke RM1000 tiga minggu sebelum PRN Sabah. Namun, janji ini tidak pernah dikotakan dan akhirnya, menjadi pembohongan kepada rakyat. Kegagalan kerajaan PN ketika itu menunjukkan mereka adalah sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan hanya pandai menanam tebu di bibir. 


3. Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini sebenarnya adalah susulan pengumuman PMX dalam Belanjawan 2024 pada Oktober 2023 di mana beliau berkata kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dimuktamadkan tahun ini. Ketika itu, mantan ADUN KKB belum lagi meninggal dunia dan tiada siapa tahu PRK KKB akan diadakan tahun ini. Justeru, dakwaan Faizal bahawa kerajaan gopoh mengumumkan kenaikan gaji adalah tidak masuk akal kerana perkara ini telah dikaji berbulan lamanya. Kenaikan ini adalah sikap prihatin PMX yang telah melaksanakan beberapa dasar baharu yang membela kebajikan rakyat. 


4. Ironinya, Faizal pula berjanji andai kata Perikatan Nasional (PN) kembali memerintah, mereka akan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 30%. Untuk pengetahuan Faizal, kenaikan gaji penjawat awam diumumkan PMX sudahpun meliputi kenaikan sehingga 40%, terutamanya bagi pekerja berpendapatan rendah. Secara total, kenaikan ini akan menelan kos RM10 bilion bagi kerajaan persekutuan.


5. Kalau PN mahu tambah lagi 30% kenaikan gaji, kos kepada kerajaan akan melonjak ke berpuluh bilion ringgit dan akan menjadi beban kewangan yang terlalu besar. Persoalannya, dari mana PN bercadang untuk menjana duit berpuluh bilion ringgit ini? Adakah dengan cara mencetak wang, sepertimana idea "bernas" Ketua Pemuda BERSATU Wan Fayhsal? Saya mencabar Faizal untuk menjelaskan perkara ini. 


FAIZ FADZIL

3 Mei 2024



No comments: