BOLEHKAH KERAJAAN MADANI PECAH DEK ISU TAHANAN RUMAH NAJIB?



Dalam banyak perbualan saya sejak dua tiga hari kebelakangan ini berkaitan isu tahanan rumah melibatkan Najib Razak, antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah sama ada perkara ini mampu membuatkan kerajaan madani terus bertahan atau akhirnya akan pecah di tengah jalan.


Sejujurnya saya melihat jika isu ini tidak ditangani dengan baik, tidak kira sama ada Najib akhirnya dibenarkan menjalani tahanan rumah atau semakan kehakimannya gagal dan beliau terus berada di Penjara Kajang sehingga tahun 2028, ia tetap memberi kesan yang sukar kepada PMX.


Berikutan titah adendum itu sudah dibawa ke mahkamah untuk disahkan kewujudannya dan tujuh responden berkaitan kerajaan telah dinamakan dalam samannya, mahu tidak mahu, ia kini sudah menjadi pertikaian antara Najib dengan kerajaan dan apa yang bekas Perdana Menteri itu ingin lihat setsrusnya ialah bagaimana pihak kerajaan mahu melawan dalam kes tersebut.


Memandangkan kerajaan pernah menyatakan soal pengampunan adalah hak mutlak Agong dan dalam bidang kuasa Lembaga Pengampunan, tetapi apabila sudah jadi kes mahkamah, cara bagaimana kerajaan melawannya akan menjadi perhatian yang utama.


Jika kerajaan bersungguh-sungguh melawannya, ia boleh ditafsirkan kerajaan tidak mahu Najib diberi tahanan rumah sebagaimana dititahkan oleh Agong ke-16.


Sebab itu, apa juga keputusan semakan kehakiman kelak, ia pasti memberi kesan kepada kerajaan, tambahan lagi saksi penting Najib ialah Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.


Walaupun PMX semalam menyebut, tindakan Zahid Hamidi menjadi saksi adalah atas kapasiti selaku Presiden UMNO, tetapi sepanjang masa adalah tidak dapat dielakkan, beliau juga memakai “baju” Timbalan Perdana Menteri selagi jawatan tersebut disandangnya.


Kalau Najib menang dalam semakan kehakimannya dan beliau berjaya menjalani tahanan rumah, ini adalah kemenangan moral yang besar baginya.


Selain ia akan digunakan untuk melonjakkan lagi sokongan rakyat kepada Najib dan UMNO menjelang PRU16 akan datang, kedudukan Zahid Hamidi menerajui parti juga dengan sendirinya bertambah kukuh.


Keadaan itu mungkin mendorong UMNO membuat pelbagai tuntutan lain kepada kerajaan dan PMX selepas ini, misalnya berkaitan kes mahkamah Rosmah Mansor, pembebasan sepenuhnya Zahid Hamidi dalam semua kes mahkamahnya yang masih belum selesai dihadapinya, malah tidak mustahil desakan untuk Najib diberi pengampunan penuh sebelum PRU16, seterusnya dibenarkan bertanding semula dalam pilihan raya tersebut.


Jika ini berlaku, sokongan pengundi bandar, separa bandar dan pengundi bukan Melayu serta rakyat yang waras yang selama ini gigih berjuang menentang skandal 1MDB, mereka pasti akan menjauhkan diri daripada kerajaan dan PH, walaupun UMNO mungkin mendapat sokongan lebih baik.


Akhirnya, PH akan melalui jalan sukar untuk memenangi PRU16 akan datang.


Sebaliknya, jika semakan kehakiman Najib gagal dan beliau kekal dimastautinkan di Penjara Kajang sehingga 2028, UMNO akan terus bergolak, kedudukan Zahid Hamidi jadi rapuh dan penyokong-penyokong Najib dalam UMNO semakin kecewa dengan Zahid Hamidi serta kerajaan.


Ia kemudiannya tidak mustahil akan mendorong timbulnya desakan agar UMNO keluar daripada kerajaan.


Paling mungkin menjadi orang pertama yang akan melakukan desakan itu kiranya Najib kekal ditahan di Penjara Kajang ialah Ketua Pemuda UMNO sendiri, Dr Akmal Salleh.


Jika Zahid Hamidi gagal mengawal semua keadaan tersebut,, desakan itu akan berkembang dan ia akhirnya akan menggoncang kedudukan kerajaan.


Kerajaan perpaduan akhirnya akan bertukar menjadi “kerajaan perpaluan” di mana palu memalu sesama sendiri tidak lagi dapat dielakkan.


Maka, kalau pun PMX berjaya mempertahankan kerajaan madani ini sehingga akhir penggal sebelum tibanya PRU16, beliau akan menjadi Perdana Menteri paling “pening kepala” berbanding semua pendahulunya sebelum ini. – ShahbudinHusin 20/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/20/pecahkah-kerajaan-madani-dek-isu-tahanan-rumah-najib.html




No comments: