ELAK DAKWA TUN DAIM DI HOSPITAL, INI AKAN MENGUNDANG SIMPATI.

 


Di sebalik Tun Daim Zainuddin kini sedang dirawat di hospital, meskipun kebenaran untuk mendakwanya di mahkamah telah diperolehi daripada Jabatan Peguam Negara, kemudian disusuli dengan kenyataan Na’imah Khalid bahawa suaminya sedia didakwa di mana-mana saja, tetapi adalah disarankan agar SPRM bersabar sedikit dan tidak terlalu gopoh dalam tindakannya.

Jangan tergesa-gesa mahu meneruskan pendakwaan dengan membawa hakim ke hospital bagi tujuan tersebut dalam waktu terdekat ini.

Bersabar seketika dahulu dan tunggu beberapa ketika lagi sebelum memikirkan pilihan yang seterusnya.

Bukan apa, jika tergesa-gesa meneruskan pendakwaan dalam keadaan Tun Daim baru saja dimasukkan ke hospital, apa lagi jika didorong rasa tercabar dengan kenyataan isteri Tun Daim yang seolah-olah mencabar itu, dibimbangi nanti tindakan yang diambil itu akan membenihkan simpati pula kepadanya.

Memang berdasarkan tinjauan umum, terlihat ramai rakyat yang bersikap positif dengan tindakan kerajaan terhadap bekas Menteri Kewangan itu, tetapi jangan sekali dilihat bertindak “overkill”.

Jika terlihat demikian – percayalah – rakyat akan jadi simpati kepada Tun Daim dan mula mencemuh kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Sebab itu, penting untuk SPRM bersabar sedikit masa lagi, lihat dahulu dan dapatkan maklumat penuh tentang kesihatannya dan berapa lama Tun Daim mungkin dirawat di hospital.

Hanya setelah tiada pilihan lain dan setelah berbulan-bulan ruang masa diberi misalnya, barulah ketika itu pertimbangan membawa hakim ke hospital harus menjadi pertimbangan.

Itu pun kena tengok pula bagaimana keadaan semasa Tun Daim ketika itu, jika kesihatannya makin tenat seperti tidak sedarkan diri, berada di ICU dan sebagainya, tetapi terus juga membawa hakim dan membacakan pertuduhan, tindakan itu pasti akan dilihat sebagai sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

Pendakwaan di hospital hanya wajar dilakukan jika Tun Daim dalam keadaan sihat dan sedar sepenuhnya, cuma barangkali berdepan masalah pergerakan yang tidak membolehkannya pergi ke mahkamah saja.

Sekali lagi, SPRM kena berhati-hati, selalu bersabar serta jangan sampai kerja baik yang dilakukanntidak membawa markah, sebaliknya memberi simpati kepada pihak lain.

Na’imah, isteri Tun Daim Zainuddin sebelum ini semacam mencabar SPRM agar meneruskan pendakwaan mahkamah terhadap suaminya, walaupun ketika di hospital.

Kata beliau, suaminya sedia berdepan sebarang pertuduhan jenayah dan tidak menggunakan alasan dirawat di hospital bagi mengelak dibawa ke mahkamah.

“Biar saya sebut dengan jelas bahawa Tun Daim sedia berdepan sebarang pertuduhan, tidak kira di mana-mana dan akan bersungguh-sungguh mempertahankan diri berdasarkan undang-undang.

“Tertakluk kepada kebenaran hospital, suami saya sedia berdepan “pendakwaan politik” walaupun di hospital,” tegasnya.

Na’imah memberi respon demikian berikutan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang menyebut, disebabkan Tun Dam dimasukkan ke hospital atas masalah kesihatan, pendakwaan terhadapnya tidak dapat dilakukan buat masa ini, meskipun telah mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negarq.

Beliau yang ternampak sedikit kecewa, terutama kerana doktor yang merawat Tun Daim tidak berterus-terang tentang masalah kesihatan yang dihadapi oleh bekas Menteri Kewangan itu berkata, jika tidak kerana berada di hospital, pendakwaan sudah pun dilakukan.

“Izin nak dakwa tu dah dapat seminggu lebih dah. Dan lepas dapat izin mendakwa tu kita maklum peguam dia nak bawa ke mahkamah.

“Kita (kemudiannya) dimaklumkan dia (Daim) dimasukkan ke sebuah hospital (swasta).

“Kita buat observation (pemerhatian) dan mendapat maklumat bahawa dia masuk hospital sebelum kita dapat izin mendakwa lagi.

“Itu betul la. Tetapi (apabila) kita bertanya doktor bila dia boleh keluar hospital, doktor pun tak nak bagi jawapan yang betul,” kata Azam Baki lagi.

Begitu pun, tambahnya, pilihan terakhir buat SPRM ialah membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan Tun Daim supaya pertuduhan dapat dibacakan terhadapnya.

Harapnya, pilihan terakhir itu hanya setelah difikir dengan semasak-masaknya. – ShahbudinHusin 24/01/2024.