SAMAN MAHATHIR - ANWAR, GADUH ORANG-ORANG TUA YANG TIDAK BAWA FAEDAH APA-APA



Saman Tun Mahathir Mohamad terhadap Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri itu mengumpul kekayaan untuk keluarga dan anak-anak bakal menjadi sejarah pergaduhan paling klasik dalam negara ini.


Ini kerana sementara Tun Mahathir sudah mencecah usia 98 tahun, Anwar pula telah menginjak umur 76 tahun.


Maknanya, kedua-dua mereka bukan bukan lagi muda, tetapi sudah tua-tua belaka.


Nampaknya, orang tua kalau bergaduh lebih dahsyat daripada pergaduhan budak-budak muda.


Tidak cukup bergaduh dengan berbalas hujah dalam media dan ketika bercakap di depan mikrofon ketika berucap atau sidang media, malah sampai perlu diadili oleh hakim-hakim untuk menentukan siapa betul dan siapa salah.


Ertinya juga, jiwa berdamai, jiwa rahmah dan berbaik sangka di dalam diri kedua-dua mereka ini sudah semakin tiada, sebaliknya masih tegar ingin menegakkan benang basah masing-masing.


Sepatutnya, apalah salahnya dalam usia semakin tua dan di bulan Ramadan yang mulia pula, mereka memilih jalan damai dan bermaaf-maafan untuk menyelesaikan persengketaan.


Membawa perang mulut ke mahkamah, dalam keadaan yang menyaman sudah lanjut usia dan yang kena sama juga telah tua, tidak membawa faedah apa-apa, selain hanya menambahbesarkan lagi ego dan menguntungkan peguam saja.


Kalau Tun Mahathir menang saman sekali pun misalnya, katalah diberi gantirugi dengan jumlah beberapa juta, nikmat duit itu sudah tiada nilainya kepada beliau.


Begitu juga bagi Anwar, kalau kena bayar gantirugi pun rasanya tiada masalah untuk beliau membayarnya.


Tetapi, bagaimana jika akhirnya Tun Mahathir kalah dalam samannya itu, apa yang akan diperolehinya selain perlu membayar yuaran guaman yang sudah tentu bukan sedikit jumlahnya?


Anwar pula, katalah jika menang pula, tiada apa-apa yang diperolehinya, malah atas kemenangannya itu dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, rakyat langsung tidak beroleh apa-apa pertambahan gaji atau barang makanan di dapur mereka.


Sepatutnya, terutama kepada Tun Mahathir yang apabila sudah hilang deposit di Langkawi dan partinya kalah teruk pada PRU15 lalu, pilihan paling baik ialah beliau memilih untuk bersara saja sepenuhnya.


Selain kalah teruk, bersama hubungan beliau dengan anaknya sendiri, Mukhriz juga bermasalah sehingga beliau akhirnya keluar daripada Pejuang untuk beralih menyertai Putra, bukankah semua itu isyarat Tuhan agar beliau berehat saja?


Apa lagi yang Tun Mahathir mahu kejar dalam hidupnya, tidak cukup-cukup lagikah berbalah dan tidak setuju dengan hampir semua Perdana Menteri dalam negara ini?


Begitu juga dengan Anwar, dalam keadaan parti Tun Mahathir bertanding pun hilang deposit di semua kawasan, beliau tidak harus membuang masa atau rasa terganggu dengan sebarang kata-kata bekas Perdana Menteri itu lagi.


Lebih baik tumpukan saja tugas sebagai Perdana Menteri kerana Tun Mahathir, secara relatifnya berbanding pemimpin pembangkang yang lain, sudah tiada apa-apa merit lagi untuk terus dijadikan lawan bergaduh.


Untuk itu, kalau pun sesekali beliau ada terasa tersinggung dengan teguran atau kritikan keras Tun Mahathir, Anwar harus anggapnya sebagai teguran seorang bapa dan sepatutnya segera menelefon Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk meminta masa agar dapat minum-minum kopi sambil berbual-bual dengan bekas Perdana Menteri dua kali itu.


Lagi pun, mereka pernah bersama, berbaik dan makan semeja dalam banyak acara sebelum ini.


Nak terus-terus bergaduh, dunia ini sampai ke mana nak dibawa dan apa teladan kepada generasi muda?


Tambahan lagi, punca pergaduhan mereka ini sebenarnya hanyalah isu kecil saja di mana ia bermula apabila Tun Mahathir mengatakan orang Melayu sedang terancam di bawah kepimpinan Anwar, lalu menggerakkan Proklamasi Melayu sebagai langkah untuk membela mereka.


Anwar yang barangkali nipis telinga dengan kritikan Tun Mahathir itu lantas membalas – bagaimana Melayu tak terancam kalau selama 22 tahun campur 22 bulan berkuasa, kamu bolot semua kekayaan untuk keluarga dan anak-anaknya.


Sebagaimana Anwar tidak harus terganggu dengan kritikan Tun Mahathir bahawa Melayu terancam di bawah era kepimpinannya, Tun Mahathir juga sepatutnya tidak terasa hati dengan serangan balas Anwar berhubung kekayaan keluarga dan anak-anaknya.


Mengkayakan anak dan keluarga bukanlah kesalahan dari segi undang-undang, kecuali jika melibatkan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.


Ia barangkali cuma salah dari segi moral sebagai pemimpin semata-mata.


Namun, kalau moral kerana mengkayakan keluarga jadi masalah, kenapa moral dalam aspek lain tidak sentiasa diambil kira?


Jadi, kenapa Tun Mahathir perlu begitu terganggu, melainkanlah jika semua anak-anaknya miskin belaka dan duduk di rumah kos rendah saja?


Begitu juga dengan Anwar, kuasa di tangannya sekarang dan melalui kritikan Melayu terancam itu, beliau patut memanfaatkannya untuk membantu dan menolong orang-orang Melayu melalui kuasa yang sedang ada dalam tangannya.


Bergaduh, saman-menyaman dan berulang alik ke mahkamah hanya kerja buang masa buat orang yang sudah tua dan lebih tidak berguna lagi jika kematian atau ajal Tuhan lebih dulu datang menerpa berbanding penentuan yang diharapkan melalui mahkamah itu kerana kes biasanya akan memakan masa beberapa tahun lamanya.


Akhirnya dapat apa? – ShahbudinHusin 18/04/2023.