Siapa kata kahwin paksa takkan jadi? Tak tentu lagi. Kahwin suka sama suka, selepas berbelas tahun bercinta pun belum tentu bahagia hingga akhirnya.
Soal sekarang adalah tolak ansur. Kahwin paksa ni, pada peringkat awal memang tampak sukar sebab saling tak mengenal. Apa lagi kalau bermusuhan.
Tapi, kalau ada sikap bertolak ansur, sedia beralah, mungkin perkahwinan itu boleh kekal asalkan tidak ada orang ketiga yang jadi syaitan penghasut.
Soal kritikan Aziz Bari itu bukan perkara yang salah. Begitu juga jawapan dari Jazlan juga bukannya tak betul. Kalau kedua-dua pihak ambil positif, ia boleh mencerna ke arah perjalanan yang lebih baik.
UMNO perlu lebih berusaha untuk memenangi hati pengundi Melayu. UMNO perlu jawab setiap fitnah agama dan perkauman yang dimainkan PN.
Manakala DAP pula perlu kikis imej anti Melayu. DAP perlu lebih tonjolkan sifat berbilang kaum dan lebih penting, jangan terlalu pancang berkomentar.
Kalau UMNO dan DAP sama-sama ambil langkah yang perlu, kerajaan perpaduan ini tak ada sebab untuk gagal.
Tapi ada masalah lain iaitu syaitan penghasut yang akan cuba melaga-lagakan parti-parti ini. Ini bukan masalah UMNO atau DAP. Ini masalah bersama.
Kalau UMNO dan DAP boleh keluarkan kenyataan bersama membidas bisikan syaitan yang tanamkan kebencian dan prejudis mulut mereka akan terkunci.
Mereka yang alami kerugian dengan pembentukan kerajaan perpaduan ini pasti takkan berdiam diri. Mereka akan terus hasut dan hasut.
Sebab itu jangan bagi peluang untuk syaitan-syaitan ini mencelah. Elakkan kenyataan terbuka. Gunakan saluran betul untuk suarakan ketidak puasan hati.
Hakikatnya baik UMNO mahupun DAP takkan kekal sebagai kerajaan jika tak mahu bertolak ansur. Soal kahwin paksa atau rela, bukan isunya. Guane boh?
Raja Gelap
.