Saifuddin pertahan Anwar arah polis bertindak atas dakwaan hasut


Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar Ibrahim mahu melindungi
 ‘kepentingan dan keselamatan negara’ susulan pelbagai kenyataan
 didakwa menghasut yang dikeluarkan pemimpin PAS.

PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kepada polis untuk bertindak ke atas pihak yang membuat dakwaan palsu terhadapnya.

Katanya, Anwar perlu bertindak kerana tiada Jemaah Menteri atau menteri dalam negeri buat masa ini.

Beliau berkata, Anwar mahu melindungi “kepentingan dan keselamatan negara” susulan pelbagai kenyataan didakwa menghasut yang dikeluarkan pemimpin PAS.

Kenyataan Saifuddin ini sebagai respons terhadap Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek semalam menyatakan salah untuk perdana menteri mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan palsu terhadapnya.

Sebaliknya, Zaid berkata, Anwar perlu memfailkan saman fitnah di mahkamah sivil, jika beliau terkilan dengan dakwaan itu.

Isnin lalu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mendedahkan Anwar mengarahkan polis mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah mengaitkannya, termasuk tuduhan kononnya beliau menjadi ejen Israel.

Keesokannya, polis berkata, mereka sedang menyiasat Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad atas dakwaan itu.

Saifuddin berkata, ia merupakan keputusan polis untuk menyiasat Hassan berdasarkan laporan yang dibuat terhadap wakil rakyat PAS itu.

Beliau menekankan perdana menteri atau menteri tiada kuasa untuk mengarahkan polis menyiasat mana-mana pihak kerana hanya ketua polis negara boleh berbuat demikian.

“Oleh itu, tidak betul untuk menganggap perdana menteri mengarahkan siasatan itu.

“Zaid sepatutnya mendapatkan pengesahan daripada polis sebelum membuat dakwaan tidak wajar terhadap perdana menteri.”

Selasa lalu, Anwar memberi masa tiga hari kepada Hassan untuk menjelaskan tuduhan dalam rakaman audio bahawa Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu membuat dakwaan berhubung “pengaruh Israel” dalam pelantikannya sebagai perdana menteri.

Dalam audio itu, seorang wanita mendakwa Hassan memaklumkannya PAS mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan, tetapi Anwar memberi tekanan dengan “menghubungi Israel dan kuasa asing” untuk campur tangan dalam proses pelantikannya.

Anwar dalam surat tuntutan itu memberi tiga hari kepada Hassan untuk memberi pengesahan secara umum dan bertulis bahawa beliau tidak terlibat dalam perkara itu, selain menarik balik rakaman audio bersifat fitnah itu.

New Straits Times melaporkan Hassan menafikan sebarang pembabitan dengan rakaman itu.

No comments: