APA YANG PAS TUDUH BUKAN SUATU KRITIKAN, TAPI FITNAH DAN PEMBOHONGAN

 

Berikutan arahan Anwar Ibrahim agar pihak polis mengambil tindakan segera terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan keterlaluan sehingga menjejas ketenteraman awam, ada pihak mendakwa ia sebagai cubaan untuk menggunakan polis untuk menutup mulut pengkritik Perdana Menteri.

Tindakan sedemikian, kata sesetengah pihak, oleh kerajaan baharu yang menjanjikan pembaharuan sama sekali tidak boleh diterima.

“Perdana Menteri tidak mempunyai status istimewa di sisi undang-undang dan tidak boleh mengarahkan polis untuk mempertahankan reputasinya,” demikian antara hujah mereka.

Tambah mereka lagi, adalah satu penyalahgunaan kuasa bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan siasatan polis terhadap individu yang membuat tuduhan terhadapnya.

Susulan arahan Perdana Menteri itu dan pelbagai laporan polis lainnya, Presiden Pas, Hadi Awang; Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad dan calon PN Padang Serai, Azman Nasruddin telah pun disiasat polis setakat ini.

Kepada mereka yang cuba mempertikaikan arahan Anwar dan tindakan pihak polis itu, pertama sekali mereka mesti tahu membezakan antara kritikan dengan fitnah serta pembohongan.

Apakah menuduh Anwar sebagai ejen Israel suatu kritikan atau fitnah dan pembohongan?

Apakah menuduh PH mempromosi Islamofobia suatu kritikan atau fitnah dan pembohongan?

Apakah menuduh kerajaan perpaduan yang titah cadangannya daripada Agong sebagai “kerajaan zina” suatu kritikan atau fitnah dan pembohongan?

Begitu juga dengan pelbagai tuduhan bersentimen kaum dan agama yang cuba dimainkan untuk memburukkan kerajaan sehingga boleh menggugat keharmonian sejak dua tiga hari kebelakangan ini – apakah ia suatu kritikan atau fitnah dan pembohongan?

Jika semua orang yang ditanya pendapat mereka boleh sepakat mengatakan kesemua tuduhan di atas adalah suatu kritikan, maka barulah arahan Anwar kepada pihak polis itu boleh dianggap sesuatu yang salah.

Tetapi, jika sebaliknya semua orang setuju kesemua tuduhan itu adalah fitnah dan pembohongan, dengan sendirinya arahan Anwar selaku Perdana Menteri kepada pihak polis itu adalah betul.

Fitnah tidak harus dibiarkan berleluasa, terutama jika ia menggugat keharmonian hidup bermasyarakat di negara berbilang kaum seperti Malaysia ini.

Lebih buruk jika fitnah dan pembohongan itu menggunakan isu kaum dan agama yang semata-mata tujuannya untuk mengaut laba dalam politik.

Dengan pelbagai cabaran dan pengalaman yang telah dilaluinya, atas kedudukannya sekarang, kita tentu yakin Anwar sama sekali tidak gentar dengan apa juga kritikan selagi ia benar-benar suatu kritikan.

Anwar telah membuktikan beliau sedia melawan apa juga cabaran dengan slogan Lawan Tetap Lawan yang menjadi pegangan perjuangannya selama ini.

Namun demikian, sebagai Perdana Menteri, Anwar juga ada tanggungjawab terhadap rakyat daripada dirosakkan keharmonian hidup mereka oleh fitnah serta pembohongan.

Arahan Anwar kepada pihak polis itu adalah tanda beliau seorang yang bertanggungjawab terhadap rakyat, bukan takut dengan kritikan.

Ketika tiada jawatan dan digelar PM tepi pun beliau tidak pernah takut dengan kritikan, apatah lagi setelah sah bergelar PM dan semua orang kena ke tepi sekarang ini, lagilah dari segi logiknya beliau tidak gentar dengan sesiapa.

Cuma, jika mereka yang suka memfitnah dan berbohong itu tidak takut kepada Tuhan, dosa serta neraka, arahan Anwar agar pihak polis bertindak adalah sekadar untuk mengingatkan agar mereka juga berani berdepan siasatan, lokap, mahkamah dan mungkin penjara atas fitnah dan pembohongan yang dilakukan. – ShahbudinHusin 30/11/2022.