KEPUTUSAN BERSATU SABAH MEMBUBARKAN DIRI SENDIRI TANDA MAHIADDIN TAK LAGI DIYAKINI

 

Walau apa jua hujah yang cuba dikemukakan, keputusan Bersatu Sabah membubarkan dirinya dan keluar daripada Bersatu di peringkat pusat adalah tanda hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan Mahiaddin Md Yasin.

Alasan pembubaran itu disebabkan landskap politik negara yang berubah, akur titah Agong berkenaan kerajaan perpaduan dan menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim untuk kestabilan dan memulihkan ekononomi boleh dikata hanya sebagai hujah kedua dan penyedap bahasa saja.

Sebab utama, malah paling logik dan mudah diterima ramai ialah kerana Mahiaddin tidak lagi diyakini dalam memimpin Bersatu dan untuk terus mengejar jawatan Perdana Menteri.

Kalau keyakinan terhadap Mahiaddin masih ada untuk mengejar jawatan Perdana Menteri, tentulah tidak mungkin sama sekali Bersatu Sabah berbuat demikian.

Lantaran merasakan tiada harapan untuk terus berharap kepada Mahiaddin, memisahkan diri dirasakan pilihan paling baik sekali.

Untuk rekod, terdapat empat Ahli Parlimen daripada Bersatu Sabah yang menang pada PRU15!baru-baru ini, tetapi kesemuanya bertanding atas tiket GRS.

Dua daripada mereka iaitu Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Di peringkat Kerajaan Negeri pula, terdapat 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Sabah termasuk dua ADUN lantikan.

Meski dengan pembubaran Bersatu Sabah itu tidak mengurangkan jumlah kerusi Parlimen PN sedia ada iaitu 74, tetapi parti itu tiada cengkaman lagi di negeri berkenaan.

Selepas ini Hajiji Noor yang merupakan Ketua Menteri Sabah akan menubuhkan sebuah parti tempatan baru yang terasing daripada Bersatu, tetapi kekal berada dalam GRS.

Berdasarkan perlembangan terbaru ini, Bersatu khasnya dan PN umumnya, sudah boleh dianggap tempang dalam perjalanan masa depannya.

Paling khusus, Mahiaddin dalam hal ini haruslah memikirkan secara serius untuk berundur diri dan menyerahkan kepada pemimpin lain untuk menerajui parti itu.

Beliau terbukti sudah tidak diyakini dan tidak diperlukan lagi.

Di mata banyak pihak dalam Bersatu dan PN sendiri, kesilapan paling besar Mahiaddin ialah menolak dengan angkuh titah Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.

Penolakan itu bukan saja memperlihatkan kesombongan dan tiada jiwa besar dalam diri Pengerusi PN itu, malah menyebabkan PN terlepas peluang untuk terus berada dalam kerajaan.

Seorang pemimpin Bersatu dengan nada kesal berkata, jika bukan Mahiaddin memimpin PN ketika ini, gabungan itu pasti sudah merupakan sebahagian daripada pihak yang membentuk kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan Agong.

Sebelum ada pihak dalam Bersatu tampil memaksanya berundur pergi selepas ini, tambahan lagi Hamzah Zainuddin sudah dinamakan sebagai calon Ketua Pembangkang, kewajaran untuk Mahiaddin mengundurkan diri sebenarnya sudah tidak dapat dielakkan lagi. – ShahbudinHusin 10/12/2022.



No comments: