Hutang negara RM1 trilion, batal projek elak ketirisan, kata Anwar




Anwar Ibrahim berkata, tindakan menyemak semula dan membatalkan projek tertentu bukan untuk memfitnah atau mencerca pihak lain.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, tindakannya menyemak semula dan membatalkan projek yang diluluskan bagi memastikan tiada ketirisan ketika hutang negara melebihi RM1 trilion.

“Diberi mandat (jadi perdana menteri), hutang lebih RM1 trilion. Setiap agensi kita teliti, di mana bocornya, mana tirisnya dan ini bukan fitnah.

“Saya kuat meneliti fail-fail, sebab itu ada beberapa projek kita minta tangguhkan, teliti semula atau batalkan, bukan makna untuk cerca mana-mana tokoh politik,” katanya ketika berucap dalam Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di sini.

Beliau berkata demikian susulan arahannya pada 6 Dis lalu supaya beberapa projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan kerana membabitkan rundingan terus tanpa proses tender.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau mahu meneliti semula projek tebatan banjir itu kerana jika timbul sebarang masalah, yang menjadi mangsa ialah rakyat, khasnya orang miskin.

“Majoriti (orang) miskin itu Melayu, sebab itu nak belanjakan (dana) perlu teliti…ini soal governance (tadbir urus).

“Tetapi, mengurus negara itu perlu ketertiban dan (ikut) peraturan. Ini kerana, lihat umpama diluluskan dengan spontan projek-projek tebatan banjir, ada beberapa persoalan tak dijawab dan saya minta tangguhkan dan diteliti semula.”

Dalam pada itu, Anwar berkata, mana-mana menteri yang didapati terbabit dengan budaya rasuah atau salah guna kuasa akan dipecat serta-merta.

“Saya sudah beritahu kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yang saya pilih, yang pertama, untuk soal tata kelola, maknanya tiada rasuah.

“Saya juga sudah bercakap dengan ketua-ketua parti komponen, kalau ada semasa pentadbiran saya sebagai perdana menteri kes seperti ini (rasuah), saya minta pecat mandat (sebagai menteri) serta merta.”

Katanya, peringatan itu bukan bersifat politik, sebaliknya keyakinan beliau untuk membebaskan negara daripada rasUAH.

No comments: