ADA PARTI TAK BOLEH MOVE ON. JADI AGONG MINTA PERJELASKAN. MAKA UNDI PERCAYA ADALAH PERLU DEMI YDPA DAN MAJLIS RAJA RAJA

 

Agong minta perjelas sokongan majoriti elak kekeliruan, kata Anwar.



Anwar Ibrahim berkata, beliau mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri ke-10 kerana terdapat Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan mereka kepada pihak lawan pada saat akhir.

PUTRAJAYA: Anwar Ibrahim mendedahkan Yang di-Pertuan Agong semalam meminta beliau menjelaskan kepada rakyat berhubung sokongan majoriti yang dimilikinya untuk menjadi perdana menteri ke-10 kerana ada pihak mempertikaikannya.

Beliau berkata, penjelasan itu juga dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dan tidak menyinggung kedudukan Raja-raja Melayu.

“Seperti mana dalam perlumbaan, dia boleh potong ’round’ (pusingan) pertama. Kita potong ’round’ ketiga.

“Tetapi, yang penting garis penamat. Di garisan penamat, saya perolehi jumlah besar kerana orang beri pengakuan sebelumnya telah menarik balik sebelum tempoh 2 petang,” katanya dalam Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di sini.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi masa sehingga 2 petang 21 Nov lalu kepada pemimpin parti politik untuk memutuskan gabungan parti bagi membentuk kerajaan dan mempersembahkan calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti kepada baginda. Tempoh itu kemudiannya dilanjutkan selama 24 jam ke 2 petang 22 Nov.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam proses pemilihannya sebagai perdana menteri,  gabungan yang memiliki jumlah kerusi paling banyak ketika itu adalah Pakatan Harapan (PH), diikuti Perikatan Nasional (PN).

Disebabkan tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah, katanya, terdapat usaha mendapatkan akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen sebelum tamat tempoh yang diberikan Agong.

PH memenangi 82 kerusi, disusuli PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22) dan Gabungan Rakyat Sabah (6).

Dalam pada itu, Anwar menegaskan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Dis ini bertujuan mendapatkan mandat lebih jelas untuk memimpin negara.

“Rasa perlu untuk adakan undi percaya kerana jumlah jelas dari PH, BN, GPS, GRS dan parti kecil lain.

“Saya jawab ampun Tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang dibangkitkan, tapi kerana saya mahu memimpin dengan mandat yang jelas, patik yakin perolehi majoriti.

“Andai kata tidak perolehi, patik akan tunduk kepada suara rakyat,” kata pengerusi PH itu.


No comments: