Pilih MN atau PN, dilema PAS berakhir minggu depan, kata mursyidul am
PETALING JAYA: Minggu depan adalah “penamat dilema” dalam usaha PAS menyatukan Umno dan Bersatu atau parti itu memilih bersama Muafakat Nasional (MN) dengan meninggalkan Perikatan Nasional (PN), mahupun sebaliknya.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata keputusan itu penting demi memastikan parti bersedia berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan bersama Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi berkaitan MN dan perkara itu kini di peringkat mesyuarat dalaman parti.
“Keputusan kemungkinan minggu depan,” katanya kepada FMT.
Menurut Hashim, turut dibawa dalam mesyuarat itu usaha menyatukan Umno, Bersatu dan PAS bagi memastikan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.
“Ya, masing-masing akan buat keputusan. Kita akan bertemu dan ambil kata sepakat apa dia. Sama ada teruskan MN ataupun sebaliknya, tapi PAS harap kita akan bersatu (PAS, Umno dan Bersatu).
“Kita harap (keputusan) akan positif, apa yang kita nak iaitu kita bersatu menghadapi PH,” katanya.
Hashim berkata demikian ketika ditanya ketetapan PAS sama ada memilih Barisan Nasional dan PN susulan pertemuan bersama Muhyiddin sebelum ini.
Semalam, Mahyuddin yang juga pengerusi PN, berkata Hadi memberi bayangan pilihan yang akan dibuat menerusi pertemuan mereka.
“Dia akan buat keputusan muktamad, mungkin tempoh masa yang mereka kata tidak ada kaitan dengan Umno,” kata Muhyiddin dalam laporan Berita Harian.
Muhyiddin berkata, pihaknya menyerahkan kepada PAS untuk membuat keputusan berikutan tidak mahu PN yang diasaskan bersama PAS dilihat sebagai tidak kukuh, selain perlu mempunyai pendirian senada.
Umno sebelum ini sudah menyatakan enggan bekerjasama dengan Bersatu.
Muhyiddin turut berkata, pihaknya akan menentang sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan PN pada PRU15.