PN – BN bergaduh jangan libatkan PH
Keberantakan pakatan politik antara BN dan PN merupakan masalah biasa di antara kedua dua parti itu yang bersaing menjelang pilihan raya umum
Bagi Pengarah Strategi KEADILAN, Lee Chean Chung, hal itu memang telah dijangkakan oleh pemerhati politik bakal berlaku apabila kedua dua BN dan PN bersaing di kawasan demografi pengundi yang hampir sama.
Katanya, tidak ada masalah PN menisytihar BN sebagai musuh utama. Hal yang salah, tegas beliau, adalah mengaitkan Pakatan Harapan (PH) ke dalam masalah itu.
“Umum tahu keluarga BN-PN telah berpecah-belah, ingin saya ingatkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu libatkan PH dalam urusan rumahtangga BN-PN yang gagal dengan membuat fitnah kononnya PH hendak bekerjasama dengan PN selepas Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin mengumumkan BN sebagai musuh utama.
“Orang ramai yang ikut perkembangan politik tanah air tahu bahawa sebelum ini KEADILAN-PH telah menolak idea bekerjasama dengan PN yang sibuk mengejar kuasa sehingga mengkhianati mandat rakyat pada tahun 2018,” kata Chean Chung dalam kenyataan hari ini.
Malah perbalahan kedua dua aliansi tersebut, tambah ADUN Semambu itu mengesahkan lagi ketidakstabilan pakatan BN – PN dalam membentuk Kerajaan Persekutuan, dan tidak perlunya kedua dua aliansi itu diundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Katanya, menyelitkan PH dalam konflik tidak membawa apa apa makna pada ketika umum mengetahui Bersatu tidak akan kembali bersama PH dan Pas amat keras sikapnya terhadap DAP.
“Sebelum ini Bersatu tiba-tiba “melamar” PH tetapi ditolak, Pas pula nak kafirkan PH. Sekarang fitnah Umno ini tidak berasas.
“Saya ingin menegaskan di sini tugas sebenar kerajaan BN – PN adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Jangan sesekali jadikan PH sebagai “punching bag” kepada ketiga-tiga parti yang saling bercakaran ini.
“Selama ini pendirian KEADILAN dan PH adalah untuk terus fokus kepada isu-isu yang berkait rapat dengan rakyat biasa dan menolak gabungan BN-PN yang sibuk mengejar kuasa serta tidak prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya lagi
Tegas beliau, menempatkan PH dalam konflik kedua dua belah pihak juga mungkin jadi taktik mengalihkan isu kegalan kerajaan BN – PN mentadbir negara.
“Apabila Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi gagal dalam tugasan mereka, Perdana Menteri Ismail Sabri dan Muhyiddin sibuk menuduh siapa lebih gagal.
“Juga (tuduhan terbaharu) boleh mengalihkan isu nilai ringgit jatuh daripada RM3.90 pada tahun 2019 kepada RM4.50 sekarang dan barang import naik mendadak,” ujarnya.
Selain itu, menurut Chean Chung, kerajan BN juga bermasalah menghadapi tentangan rakyat untuk melaksanakan PRU 15 pada musim banjir yang akan menelan kos tambahan RM100 juta, di samping banyak nyawa dan harta benda tidak dapat diselamatkan kerana pasukan keselamatan mempunyai terlalu banyak beban tugas.
“Atas perkembangan politik dan ketidakstabilan yang ditimbulkan oleh gabungan gagal BN-PN ini, PH jelas adalah pilihan yang lebih boleh diterima oleh rakyat pada PRU15 nanti,” kata beliau lagi.