Fokus utama PKR dapat kuasa untuk bela wanita
Wanita KEADILAN meletakkan perjuangan membela dan mengangkat martabat wanita sebagai tujuan utama mengembalikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Hal itu ditekankan oleh Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dalam Himpunan Wanita KEADILAN di Pulau Pinang, petang semalam.
“Kayu ukur kejayaan kita dalam negara atau negeri bukan semata mata berapa kerusi Parlimen, DUN atau Ahli Majlis kita dapat tetapi bagaimanakah kualiti dan berapa anak anak yang tercicir dari sekolah yang boleh kita bantu.
“Berapa ibu tunggal yang tidak boleh mendapatkan bantuan pusat (akan dibantu), berapa peluang pekerjaan yang boleh kita jana (jika menjadi kerajaan).
“Saya nampak merbahaya apabila kita pergi kembali kepada dunia (sebelum pandemik) dan pelaksanaan dasar ekonomi seolah olah kita tidak hadapi pandemik. Tiba tiba naik OPR (kadar faedah bank) buat kali keempat (dalam setahun). Juga isu bantuan makro kredit kita tidak dibenar (diangkat) ke hadapan (dalam kerajaan sekarang),” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, dengan memerintah sahajalah isu isu wanita dan keluarga boleh ditangani secara lebih baik kerana kerajaan BN – PN terbukti tidak mampu membela wanita sebagaimana pemerintahan PH.
“Oleh itu kita perlu paksa isu ini diarusperdanakan. Kementerian Wanita bukan kementerian olok olok, Kementerian Wanita adalah barisan hadapan, lebih penting daripada kementerian lain.
“Misalnya masa pandemik (Covid 19) senjata tidak membantu kita tetapi yang memberi kebajikan sewajibnya (adalah Kementerian Wanita),” katanya.
Nurul juga mengingatkan kejayaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada waktu Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menerajuinya.
Kata beliau, kejayaan itu boleh dijadikan pembangkit semangat wanita sebagai pengundi untuk membuat perubahan dalam PRU akan datang.
“Peperangan dalam pilihan raya akan menyebabkan kita kehilangan aset suara wanita yang dahulunya Dr Wan Azizah membawa dengan memperkenalkan perlindungan KWSP (kepada wanita) melalui i-Suri.
“Kita yang memperkenalkan agenda bagi melindungi wanita tetapi bila kuasa diambil sebegitu rupa, apakah kesannya? Wanita di luar sana mendapat kesan negatif akibat pemegang jawatan (ketika ini) yang tidak layak dan tidak cakna dalam menangani isu wanita,” katanya lagi.
Dalam pidatonya, Nurul juga membangkitkan kelemahan Kementerian Wanita dalam menangani isu wanita sebagai ketua keluarga tunggal, anak anak yang tidak mendapat gajet untuk pembelajaran, kes sumbang mahram yang meningkat juga isu peluang saksama kepada golongan wanita.