Ekonomi Asia tidak merudum, ringgit kita merudum, Menteri Kewangan senyap - Anwar


 Krisis kewangan Asia dua dekad lalu yang menyaksikan matawang ringgit jatuh merudum RM4.50 berbanding AS$1 disebabkan serangan spekulator matawang yang juga menyerang matawang di beberpaa negara Asia lain untuk ikut runtuh sama.


Ironinya pada 2022, tiada serangan spekulator dan negara Asia lain makmur ekonominya namun matawang ringgit tiba tiba jatuh sebagaimana 22 tahun lalu.


Bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kejatuhan nilai ringgit ketika ini adalah bukti nyata ketidakupayaan kerajaan BN - PN memerintah negara, dan perlu ditukar dalam pilihan raya akan datang.


"Kita pernah lalui krisis ekonomi besar, serangan Baht di Thailand, merudum ekonomi Thailand, disambung rupiah Indonesia, merudum Indonesia, kemudian won di Korea Selatan, dan kita mendapat tempias yang dahsyat.


"Apa kita lakukan, kita adakan perbincangan, langkah dan setiap hari rakyat dimaklumkan tentang langkah yang diambil


"Hari ini merudum ringgit, dalam keadaan ekonomi Asia tidak merudum. Kita merudum dulu, dan tidak ada maklumat (dari kerajaan).


"Kalau di Parlimen Tengku Zafrul (Menteri Kewangan) ini saya malas nak tanya banyak banyak kerana jawapan dia itu adalah jawapan yang tidak patut disampaikan oleh mana mana Menteri Kewangan yang bertanggungjawab.


"Cakap soal bank, rakyat susah, peniaga kecil nak kena bayar (susah), dia jawab mempertahankan bank. Bukan pertahan peminjam di bawah," kata Anwar di hadapan lebih 2,000 hadirin yang mendengar ceramah Rapat Mega KEADILAN 2022 di Gombak, malam tadi.


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, jawapan kerajaan BN - PN tidak boleh diterima sama sekali kerana menyalahkan ekonomi antarabangsa sebagai punca jatuhnya matawang atau merosotnya ekonomi Malaysia, dan rakyat perlu reda menanggung kenaikan harga barang.


Tegas Anwar, nilai matawang mesti dijaga oleh kerajaan dengan pelbagai polisi menarik pelaburan serta hubungan dagang. Bukan membiarkan sahaja nilai matawang itu melakukan proses pembetulan diri sendiri.


"Harga barang naik, pelbagai jawatankuasa dibentuk, jawatankuasa jihad macam macam. Tetapi pengumuman yang jelas tak ada. Tindakan tidak jelas, yang jelas harga terus melambung naik.


"Di Parlimen saya kata harga import naik sebab ringgit jatuh. Apa sebab ringgit jatuh? Hang tak reti jaga negara.


"Harga jatuh kerana orang tak yakin, pelabur tak masuk. Menteri umum RM 8 bilion sana, RM10 bilion sini (pelaburan), tak tahu pergi ke mana.


"Mengapa kita tumpu ekonmi, kerana ini amat menyentuh soal rakyat," katanya.


Justeru itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyeru agar rakyat menolak pemimpin yang tidak bijak memerintah tetapi mahu terus berpaut pada kekuasaan dengan menggunakan isu Melayu dan agama Islam.


"Orang yang jadi pemimpin ini bila cakap isu Melayu berdegar degar, kadang datang tak cukup dengan songkok tinggi, tengkolok dia pasang.


"Konon nak bela nasib Melayu. Kemudian ada dengan serban, jubah tetapi elaun dia ambil semua. Kerja tak buat pun ambil elaun.


"Perjuangan ini adalah perlaksanaan kata kata. Kalau kita bicara soal perjuangan akhlak Islam kemudian kita sanggup memperkaya diri dan keluarga, ini pengkhianatan terhadap amanah.


"Saya tak kira nama Umno, Bersatu atau Pas, dalam PRU ini kita mesti tolak sikap sedemikian dan bangkitkan perubahan ini," katanya.


Bagi Parlimen Gombak pula, Anwar menyeru agar pengkhianat mandat rakyat dihumban dalam PRU 15.


Katanya, sesiapa yang naik atas sokongan rakyat menggunakan landasan perjuangan untuk membela rakyat tetapi khianat tidak layak diberi peluang lebih lama dalam politik.


"Malam ini kita datang untuk menyerang kawasan pengkhianat di Gombak. Ini permulaan baik, satu signal baik. Rakyat walaupun menyokong mana mana pimpinan, sebaik sahaja mereka melanggar prinsip, sebaik khianat, kita humban mereka.


"Dengar baik baik Gombak, Ampang dan sekutu sekutu, dalam strategi pilihan raya kita, kawasan paling kuat kita menyerang ialah kawasan yang dipilih oleh rakyat untuk membela mereka, kemudian khianat mereka.


"Kawasan itu jadi tumpuan kita untuk menghukum dan menghumban mereka," katanya lagi.

No comments: