'Kita masuk PRU 15 lebih bersedia sebagai kerajaan menanti, Anwar calon Perdana Menteri'



Kegagalan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang ditadbir Tun Mahathir Mohamad telah menyedarkan KEADILAN dan PH untuk berbuat lebih baik sekiranya diberi peluang memerintah semula dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Adam Adli Abdul Halim berkata, PH akan melaksanakan agenda reformasi pentadbiran yang lebih mantap sekiranya diberi peluang sekali lagi di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM).


Katanya, tidak ada alasan pengundi Atas Pagar untuk hilang keyakinan terhadap politik dengan barisan kepimpinan yang ditawarkan oleh PH kali ini


"Atas Pagar kurang keyakinan. Mereka merasa dengan keadaan carca marba, boleh harap lagikah orang politik? Mereka serik bila dalam keadaan pandemik (Covid 19) kita terpaksa hadapi krisis politik negara. Mereka hilang keyakinan terhadap institusi politik.


"(Hari ini) kita datang bukan dengan janji janji tetapi kesungguhan. Betul 22 bulan kita jadi kerajaan di Putrajaya dan kita ada banyak kelemahan. Kita ada banyak kekurangan dan jangan anggap tidak sedar apa yang berlaku.


"Sebab itu kita nak masuk PRU 15 ini, kita jauh lebih bersedia dan jauh lebih baik daripada 22 bulan sebelum ini.


"Masa 22 bulan tersebut kita tak ada Anwar dalam kabinet, dan hari ini kita masuk dengan prinsip yang jauh lebih kemas. Kita tak ada dolak dalik lagi. Kita masuk dengan agenda utama untuk hapuskan rasuah, teruskan kerja reformasi tertangguh," katanya dalam Rapat Mega KEADILAN 2022, malam tadi.


Sehubungan itu, Adam mahu rakyat bersama sama bangkit untuk menumbangkan kerajan BN - PN dalam PRU beberapa bulan dari sekarang.


Katanya, perjuangan tersebut bukan mudah kerana BN tidak akan membiarkan PH naik sebagai pemerintah. Tanpa kesepaduan rakyat menggempur maka katanya, keadaan tidak akan berubah.


"Kerajaan yang wujud hari ini, mereka tidak akan lepas dengan mudah. Yang kita lawan hari ini Umno BN dan rakan subahatnya PN, mereka bukan orang baik. Mereka tak pernah hormat mandat rakyat, kehendak rakyat.


"Mereka naik pun bukan dengan kehendak rakyat. Mereka naik kerana hasad dengki, kerja khianat. Mereka hanya nak kejar kuasa dan kekayaan.


"Kita nak lawan dengan mereka. Kalau sekadar kita letak pemimpin politik untuk berhadapan, kita tak mampu. Sebab itu akhir sekali kita harus percaya, yang boleh tumbangkan mereka hanyalah kuasa rakyat.


"Kita tumbangkan mereka dengan kuasa rakyat," katanya lagi.



 

No comments: