HAAAAA......JANGAN HAMPA KAN DAKU WAHAI ZAID...AKU TAKUT NAK KE DALAM

 


Masa ‘suntuk’, apakah peguam baharu Najib dapat sediakan rayuan SRC dengan sebaiknya?






Najib Razak akan diwakili oleh pasukan peguam baharu dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu menolak permohonan pasukan peguam bela Najib Razak yang baharu untuk diberi lebih masa membuat persiapan terhadap kes rayuannya membingungkan beberapa pihak, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mahkamah bertindak terlalu tegas ke atas bekas perdana menteri itu dalam mencapai keputusan itu.

Pada 26 Julai lalu, firma guaman, Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa ia dilantik Najib untuk mengendalikan rayuan kes berhubung SRC International, menggantikan Shafee & Co.

Peguam veteran Hisyam Teh Poh Teik turut dinamakan sebagai peguam bela utama Najib, menggantikan Shafee Abdullah.

Menurut Najib, beliau terpaksa melantik pasukan peguam bela baharu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lima hari sebelum itu, menolak permohonan untuk melantik peguam diraja UK, (Queen Counsel) Jonathan Laidlaw, seorang pakar perundangan jenayah kolar putih, menjadi peguam bela utamanya dalam rayuan muktamad kes itu di Mahkamah Persekutuan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Sejurus selepas dilantik, firma guaman baharu Najib, yang diketuai bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, menulis kepada mahkamah, memohon penangguhan kes rayuan SRC International yang ditetapkan pada 15 Ogos hingga 30 Ogos.

Antara alasan yang diberikan dalam permohonan itu ialah firma berkenaan memerlukan masa untuk membuat persiapan komprehensif dalam membentangkan rayuan terakhir Najib.

Jika gagal dalam rayuan itu, Najib berisiko dipenjarakan sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman yang telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Permohonan pasukan peguam bela baharu Najib untuk diberikan lebih masa bagi membuat persiapan setelah dilantik kurang sebulan lalu, ditolak semasa sesi pengurusan kes Jumaat lalu, sekali gus memberi Zaid, Teh dan pasukan peguambela mereka hanya kira-kira tiga minggu untuk membuat persiapan.

“Mahkamah Persekutuan nampaknya menguruskan penjadualan kes rayuan (Najib) ini dengan amat ketat,” kata seorang peguam kanan kepada FMT.

“Ia memberikan gambaran salah, seolah-olah mahkamah mahu menyelesaikan kes rayuan ini secara tergesa-gesa. Ini sesuatu yang merunsingkan,” kata peguam itu yang tidak mahu namanya disiarkan.

Rayuan Najib difailkan pada 8 Dis tahun lepas, sejurus selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 atas tujuh tuduhan pengubahan wang haram.

Keputusan itu disusuli dengan Peguam Shafee & Co memfailkan petisyen rayuan Najib pada 25 April.

Mahkamah Persekutuan kemudian menetapkan tarikh rayuan pada 15 Ogos dan mengarahkan pasukan pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujah bertulis mereka selewat-lewatnya 31 Julai.

Sebenarnya pertukaran peguam cara bukannya suatu perkara luar biasa dalam perjalanan kes, kata peguam kanan itu kepada FMT, dan menegaskan, dalam apa jua keadaan, tertuduh memang berhak menukar peguam dalam membela diri.

“Perkara 5(3) Perlembagaan memberikan setiap orang yang dituduh, termasuk Najib, hak memilih peguam dan hak itu unsur penting dalam memastikan perbicaraan yang adil.

“Hak itu semestinya termasuk hak melepaskan peguam dan melantik pengganti,” tambah peguam kanan itu.

Malah, menurut beliau, seorang tertuduh tidak perlu beri sebarang alasan untuk mewajarkan penggantian itu, dan kebenaran mahkamah juga tidak diperlukan untuk menggunakan hak berkenaan, katanya.

Peguam itu akur bahawa dalam kes Najib, mahkamah mempunyai budi bicara sama ada membenarkan permintaan pasukan guaman baharunya yang mahu diberi lebih masa untuk membuat persediaan.

“Ia memerlukan mahkamah menggunakan budi bicara kehakiman dengan menilai keadaan yang menimbulkan permintaan (untuk diberikan lebih masa) itu, berpandukan prinsip undang-undang,” katanya.

Dalam membuat penilaian itu, beliau berkata mahkamah harus mengambil kira hak perlembagaan Najib untuk memperolehi perbicaraan adil, termasuk hak mendapatkan khidmat peguambela pilihannya.

Faktor itu lebih mustahak memandangkan rayuan Najib dalam kes SRC International melibatkan kebebasannya. Jika rayuan ditolak, Najib akan dibawa terus daripada mahkamah untuk menjalani hukuman penjara.

“Memandangkan faktor ini, mahkamah lazimnya tidak akan menolak permintaan menangguhkan perbicaraan selagi ia munasabah dan dengan syarat ia bukan percubaan menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya.

Mengulas arahan Mahkamah Persekutuan, Presiden Bar Malaysia Karen Cheah merujuk Peraturan 6(a) Kaedah-Kaedah (Amalan dan Etika) Profesyen Undang-Undang 1978 yang mengatakan bahawa mana-mana peguam yang ingin bertindak dalam sesuatu kes mesti mampu dan bersedia untuk menjalankan perbicaraan pada tarikh yang sudahpun ditetapkan oleh mahkamah.

Kata Cheah, ini bermaksud bahawa seseorang litigan yang bertukar peguam mengambil risiko bahawa mahkamah akan menolak sebarang permohonan penangguhan kes meskipun adanya pelantikan peguam baharu. Maka, peguam baharu yang dilantik harus bersiap sedia.

Tambahnya, mahkamah mempunyai budi bicara sama ada untuk membenarkan atau menolak permohonan untuk mendiscajkan peguam dan menangguhkan perbicaraan.

“Selain itu, peguam baharu boleh juga dikenakan tindakan tatatertib atas alasan salah laku profesional sekiranya dia tidak dapat memberi alasan munasabah mengapa penangguhan kes dipohon,” katanya.

Apa pun, kes SRC Najib bukan perbicaraan biasa. Perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2018 itu menyaksikan 86 saksi memberi keterangan (pendakwaan, 57; pembelaan, 29) selama 76 hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Keputusan hakim perbicaraan, Nazlan Ghazali, disampaikan secara lisan pada 28 Julai 2020 dan diikuti dengan penghakiman bertulis lebih 500 muka surat, di mana beliau mentafsirkan pelbagai peruntukan dalam lebih 20 perundangan dan merujuk kepada undang-undang dalam kira-kira 350 kes terdahulu untuk mensabitkan Najib.

Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Rayuan. Panel hakim yang mendengar rayuan itu selama 15 hari menghasilkan keputusan setebal 317 muka surat, yang merupakan asas rayuan terakhir Najib kepada Mahkamah Persekutuan.

Kes Najib bertambah unik kerana bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan Jun lalu untuk dibenarkan mengemukakan keterangan lanjut. Najib juga memohon mahkamah memerintahkan perbicaraan semula atas dakwaan Nazlan sepatutnya menarik diri sebagai hakim kesnya kerana konflik
kepentingan.

Segala perkembangan ini merangkumi isu-isu perlembagaan dan perundangan yang menuntut firma guaman baharu Najib membuat persiapan rapi dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Pemecatan Shafee bermakna pasukan peguam bela baharu Najib perlu bertindak pantas dalam menyediakan rayuan jitu dan menyakinkan.

Ia membabitkan penelitian ribuan muka surat kenyataan saksi, keterangan dokumentar yang dikemukakan semasa perbicaraan, penghakiman bertulis kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, serta nota keterangan yang direkodkan sepanjang keseluruhan prosiding.

“Justeru, rayuan peguam memohon diberikan lebih banyak masa dilihat sangat munasabah kerana ia (penangguhan rayuan) jelas perlu untuk membenarkan mereka membentangkan kes anak guam mereka pada tahap kecekapan yang setimpal dengan status dan sifat rayuan (di mahkamah tertinggi negara),” kata peguam itu.

“Setakat ini, tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa Najib dan pasukan peguamnya menyalahgunakan proses mahkamah atau bertindak tidak wajar,” tambahnya.

Terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan enggan menangguhkan rayuan itu, meskipun peguambela baharu Najib hanya mempunyai tiga minggu untuk membuat persiapan, seorang pemimpin veteran Umno menyifatkan keadaan itu sebagai “janggal” dan bercanggah dengan norma sistem perundangan semasa.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, badan kehakiman telah dipuji kerana kebebasannya terutamanya dalam mengadili kes berprofil tinggi.

“Para hakim telah berulang kali menunjukkan nilai integriti, keadilan, kejujuran dan ketelusan, yang sebelum ini dianggap telah hilang,” kata pemimpin itu yang enggan namanya disiarkan.

Walaupun diselubungi pelbagai kerumitan, kes Najib hanya mengambil masa lebih empat tahun untuk sampai ke mahkamah tertinggi, katanya.

“Saya rasa faktor kepentingan awam dan kemarahan di lapangan menyebabkan kes (Najib) bergerak pantas,” tambahnya, sambil membuat perbandingan dengan perbicaraan kes Liwat II Anwar Ibrahim yang berlangsung selama lebih enam tahun.

“Pemerhatian saya sendiri ialah sepanjang prosiding, Najib dan peguamnya sentiasa memberi penghormatan sewajarnya kepada mahkamah,” katanya. “Tidak pernah Najib memperlekehkan mahkamah.”

Beliau berkata beberapa pertimbangan juga mesti diambil kira mengenai dua watak utama yang memimpin pasukan peguam bela baharu Najib.

“Zaid Ibrahim dan Hisyam Teh kedua-duanya terkenal dalam kalangan pengamal undang-undang sebagai amat profesional dan mereka tidak akan sekali-kali membenarkan nama baik mereka dipergunakan dalam sebarang percubaan menyalahguna proses mahkamah,” katanya.

Apa pun, menurut beliau, wujud bisikan di lapangan yang cenderung kepada pandangan bahawa Najib berhak mendapat layanan lebih adil di ambang rayuan mahkamah terakhir yang bakal menentukan hidupnya.

“Jika pada akhir rayuan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bekas perdana menteri mesti dihukum untuk jenayahnya, biarlah ia kerana dia gagal mengemukakan rayuan yang bermerit, (dan) bukan kerana dia dihalang daripada berbuat demikian,” katanya.


No comments: