JANGAN SEDIH, UMNO SEPATUTNYA BERTERIMA KASIH KEPADA PAS

 

Rasa kecewa UMNO berikutan pendirian Pas yang mengumumkan akan menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka, sekaligus menolak bekerjasama dengan BN mungkin boleh difahami, tetapi adalah dinasihatkan mereka tidak mengecam atau mengutuk parti Islam itu secara berlebih-lebihan.
Pendirian Pas itu bukan saja atas kedudukan mereka sebagai anggota rasmi PN, malah ia sebenarnya dapat menyelesaikan masalah UMNO sendiri secara tidak langsung.
UMNO dan Pas, walaupun bersama dalam Muafakat Nasional atau MN, namun tiada ikatan rasmi yang mengesahkan hubungan mereka itu.
Berbanding PN yang merupakan gabungan berdaftar, MN tidak pernah pun cuba didaftarkan.
Setiausaha Agung BN yang dipecat, Annuar Musa pernah mendakwa, UMNO pimpinan Zahid Hamidi sendiri yang menolak untuk mendaftarkan MN.
Kalau setakat bercinta ke sana sini, tiada ikatan rasmi yang mengikat, apalah nak dihairankan kalau hubungan itu putus di tengah jalan atau pasangan mencari cinta yang lain.
Jadi, tak salah pun Pas beralih kepada PN, yang salah ialah UMNO itu sendiri kerana buta-buta percaya kepada Pas tanpa mahu mengikatnya dengan ikatan rasmi.
Selalu berjumpa, selalu bermesyuarat dan selalu bersama dalam pelbagai program, kenapa hubungan tak diikat dengan ikatan yang rasmi?
Berbeza dengan PN, oleh kerana ia didaftarkan sebagai pertubuhan yang rasmi dan Pas dipinang untuk menyertainya, maka tidaklah salah untuk Pas memilih PN berbanding MN.
Bersama UMNO dalam MN, asyik berkawan saja dan tiada pelawaan untuk berkahwin secara rasmi, maka apa pilihan lagi buat Pas?
Apabila muncul Bersatu dalam hubungan antara UMNO dan Pas yang terbentuk selepas PRU 2018, kisah mereka itu sudah jadi seperti cerita cinta tiga segi gayanya.
Cinta tiga segi selalunya penuh dengan cemburu, berebut kasih sayang, dendam dan macam-macam lagi perasaan.
Tetapi, realitinya UMNO hanya mahu bersama Pas, tetapi tidak mahu dengan Bersatu.
Bersatu sedia menerima UMNO dan sedia juga bersama dengan Pas.
Pas pula mahu kepada kedua-duanya iaitu UMNO dan Bersatu.
Dalam masa yang sama, UMNO juga tahu, syarat Pas ialah jika UMNO mahu bersamanya, mesti dibawa Bersatu sekali dalam kerjasama itu.
Tanpa Bersatu, sudah banyak kali diisyaratkan bahawa Pas agak keberatan untuk bekerjasama dengan UMNO semata-mata.
Dengan Pas sudah bersama PN dan sedia menggunakan lambang PN, ia bermakna ikatan Pas dengan Bersatu sudah cukup kukuh sekarang ini.
Dengan itu, UMNO tidak boleh lagi terus merayu agar Pas secara sendirian untuk bersamanya.
Bukan saja pintu rundingan seperti telah tertutup, malah kalau UMNO mahu berunding pun, ia selepas ini mesti dengan PN, bukan lagi dengan Pas.
Namun, untuk UMNO berunding dengan PN, ia tidak juga mudah kerana ada Bersatu di dalamnya, malah Bersatu yang ditolak UMNO itulah yang mengetuai PN.
Berdasarkan semangat ketetapan PAU yang menolak kerjasama dengan Bersatu, berunding dengan PN yang dipimpin dan diketuai oleh pemimpin Bersatu, ia sama ertinya dengan melanggar ketetapan akar umbi itu.
Ikut mana pun, hakikatnya amat sukar untuk meletakkan UMNO dan Bersatu bersama dalam satu kelambu.
Keputusan UMNO mahu bersama dengan Pas saja sebenarnya adalah bertujuan untuk “membunuh” Bersatu, begitu juga tindakan Bersatu melarikan Pas untuk menyertai PN, ia turut bermatlamat melemahkan UMNO.
Kedua-dua parti itu saling tidak mahu bersama dan lebih sedia bermusuh daripada bekerjasama.
Sebab itu, apabila Pas sudah membuat keputusan kekal bersama PN dan akan menggunakan lambang PN, UMNO tidak perlu menoleh atau bersedih lagi.
Tindakan Pas itu secara tidak langsung telah memudahkan lagi keinginan UMNO untuk menolak Bersatu serta memenuhi ketetapan PAU tanpa ragu-ragu.
Oleh kerana Pas lebih memilih bersama Bersatu dalam PN, tidak sukar lagi sebenarnya untuk UMNO untuk turut meninggalkan Pas sama.
Dalam hal ini, UMNO sepatutnya berterima kasih kepada Pas, bukan bersedih.
Bayangkan betapa sukarnya UMNO untuk membuat keputusan dan mengharungi masa depan dalam PRN Melaka dan PRU15 jika Pas tidak membuat apa-apa keputusan berhubung kedudukan dan penggunaan lambang PN.
Sampai bila hubungan tiga segi itu mahu tergantung begitu saja?
Kepada UMNO, pilihan kini hanya satu – jalan terus dan lupakan Bersatu serta lupakan juga Pas secara muktamad. – ShahbudinHusin 02/11/2021.


No comments: